SUNGAI SIPUT: Seorang remaja lelaki direman bermula semalam bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli yang disyaki dibunuh.
Lelaki berusia 17 tahun, ditahan petang kelmarin susulan penemuan mayat kanak-kanak tersebut pada petang Sabtu.
Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Sungai Siput dan hasil bedah siasat terdapat kesan tekanan di bahagian leher dan juga kesan koyakan di kemaluan mangsa.
Suspek yang ditahan mempunyai hubungan pertalian darah dengan mangsa.
Perintah reman sehingga 25 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Asyifa Redzuan terhadap suspek bagi membolehkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek tiba di Mahkamah Sungai Siput pada pukul 8.30 pagi berbaju T diiringi oleh anggota polis.
Menurut kenyataan polis, hasil siasatan awal mendapati tempat terakhir kanak-kanak tersebut kelihatan adalah di Surau Madrasah Darulsalam yang jaraknya kurang 100 meter dari rumah keluarganya.
Mayat mangsa dijumpai oleh pihak polis pukul 4.20 petang Sabtu, dalam keadaan terbaring di kawasan paya, Kampung Bersah, Kampung Kuala Mu di sini.
Pihak polis difahamkan oleh keluarga mangsa bahawa Nuraina Humaira yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu juga mempunyai masalah pendengaran dan lembam.
Mengikut laporan sebelum ini, mangsa dikatakan bermain di sekitar perkampungan terbabit pada Jumaat petang lalu sebelum didakwa hilang.
Bapa mangsa, Rosli Mahadi, 48, sebelum ini mendakwa kawasan tempat jasad anaknya ditemui itu adalah kawasan yang sering dijauhi oleh penduduk kampung kerana banyak haiwan liar terutama ular. – UTUSAN










