SHAH ALAM: Pembangunan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) memerlukan dasar dan undang-undang demi mengelak ketirisan tatakelolanya dan meminimumkan risiko serta impak ke dalam masyarakat selain kehidupan seharian.
Bagaimanapun, AI mempunyai sisi gelap dengan teknologi pemalsuan melampau yang menghakis kepercayaan terhadap realiti digital seperti berita palsu yang mengubah persepsi, mengancam integriti maklumat serta menimbulkan keraguan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan teknologi dan pembangunan AI diakui memainkan peranan penting membantu meningkatkan kualiti hidup, kecekapan dan dan kreativiti manusia sehingga mampu mencapai tahap realiti peribadi yang baharu.
“Saya juga ingin menegaskan, nilai-nilai manusia, perlindungan data dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab semuanya terkesan serta diberi makna yang baharu oleh teknologi ini.
“Kini, semakin sukar untuk dibezakan antara yang sebenar dengan yang palsu di alam maya. Disebabkan oleh kesan AI, kita dengan mudah kehilangan keupayaan untuk mengenal pasti sumber yang boleh dipercayai,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmu pada Persidangan Antarabangsa Inovasi dan Keusahawanan dalam Perkomputeran, Kejuruteraan dan Pendidikan Sains (Invent) 2024, hari ini.
Tambahnya, beberapa persoalan fundamental terhadap AI perlu diselesaikan seperti jaminan perlindungan data, standard etika diperlukan untuk pembangunan dan penggunaan serta memastikan ia kekal mudah diakses dan adil untuk semua lapisan masyarakat.
“Hakikatnya, AI mempunyai potensi yang besar, ia boleh membantu kita mencari penyelesaian kepada cabaran yang kita hadapi, sama ada perubahan iklim, penjagaan kesihatan atau pendidikan.
“AI bukan entiti terasing tetapi sebahagian daripada kehidupan seharian kita, dan kita semua bertanggungjawab untuk memanfaatkannya sebaik mungkin,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anwar menyeru semua pihak menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi antara 20 negara teratas dalam teknologi AI
“Kesan aplikasi AI pada tahap pendedahan tertinggi patut diteliti mencakupi kes-kes berkait hak sosial, kebajikan atau warga berisiko. AI digunakan untuk membuat profiling atau menapis pencari kerja, menjejak proses perkembangan kanak-kanak yang sihat sehinggalah ke proses di mana amalan demokrasi di pertaruhkan.
“Impak positif yang tercetus daripada AI juga datang bersama-sama dengannya risiko tertentu. Tekad kita perlu jelas,” ujarnya.
Katanya lagi, masyarakat akademik dan profesional, masyarakat, dan pemerintah untuk terlibat dalam menilai, merancang, dan menerapkan teknologi ini demi kesejahteraan sejagat. – UTUSAN










