ROMPIN: Keseluruhan Lebuh Raya Tun Razak dari Segamat, Johor ke Gambang, Kuantan perlu dinaik taraf menjadi empat lorong bagi mengurangkan kadar kemalangan.
Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, difahamkan lebuh raya terbabit pernah dinaik taraf untuk pelebaran pada 2015, namun kerja-kerja tersebut hanya dilakukan di sebahagian laluan.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat, pihaknya sudah beberapa kali mengutarakan cadangan tersebut dalam persidangan Dewan Rakyat.
“Lebuh raya ini melibatkan tiga Parlimen dan wakil rakyat terdahulu juga sudah beberapa kali mengutarakan perkara ini. Saya juga ada bawa dalam sidang Dewan, namun jawapan diberikan adalah 80 peratus punca kemalangan disebabkan kecuaian pengguna berdasarkan kajian daripada Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia).
“Namun, sebenarnya faktor jalan juga mempengaruhi. Apabila dinamakan lebuh raya, sepatutnya ada banyak laluan yang ada dua lorong. Saya juga tidak tahu mengapa Lebuh Raya Kuantan-Segamat ini dinamakan lebuh raya?
“Bagaimanapun, usaha berterusan akan dilakukan bagi memastikan lebuh raya berkenaan dapat dilebarkan dan dinaik taraf, sesuai dengan namanya. Kemungkinan juga kos menaik taraf juga lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan keadaan Lebuh Raya Tun Razak didakwa ‘hancur’ kerana banyak masalah sehingga kerap berlaku kemalangan terutama membabitkan pemandu luar.
Pengguna terutama yang berulang-alik di laluan sepanjang 146.8 kilometer dengan kos berbilion merungut dan mempersoalkan bentuk fizikal lebuh raya tersebut yang sangat daif dan sama taraf dengan jalan kampung.
Mengulas lanjut, Abdul Khalib berkata, selain pelebaran jalan, beliau turut membangkitkan masalah jalan rosak di lebuh raya berkenaan sehingga mengakibatkan kemalangan yang mana terbaharu adalah ketika persidangan Dewan Rakyat, Jun lalu.
“Kita ada bangkitkan tentang laluan Simpang Keratong-Bahau dan saya ada bertanya tentang laluan ini dan ketika itu pertanyaan saya dijawab Timbalan Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Ahmad Maslan).
“Saya dimaklumkan kerja-kerja menaik taraf jalan terbabit masih dalam penilaian dan JKR (Jabatan Kerja Raya) akan memperuntukkan sekitar RM100 juta,” katanya.
Tambahnya, selain laluan berkenaan, sebahagian jalan rosak sebagaimana dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini sudahpun dibaik pulih.
“Sebahagian jalan FT102 ini telah dibaik pulih, namun tidak dapat dipastikan berapakah peruntukan disediakan JKR. Laluan yang dibaik pulih itu adalah antara Perantau Damai (Felda Keratong 8, 9 dan 10) menuju simpang Keratong-Bahau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada JKR kerana mengeluarkan peruntukan membaik pulih lampu jalan yang rosak di setiap simpang di sepanjang lebuh raya itu.
“Saya perhatikan di laluan simpang-simpang terutama di simpang Keratong-Bahau iaitu lokasi berlaku kemalangan bas yang mana gelap sebelum ini, sudah terang kerana lampu jalan sudah dibaiki.
“Sebelum ini kita banyak terima aduan daripada pengguna berkaitan simpang jalan di lebuh raya berkenaan yang gelap dan boleh membahayakan keselamatan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, terdapat juga laluan lain yang perlu dinaik taraf di sepanjang Lebuh Raya Tun Razak antaranya antara Ladang Bebar menuju bandar Muadzam Shah yang dikatakan kerap juga berlaku kemalangan.
“Laluan itu sebenarnya jalan lurus dengan garisan putus. Cumanya kemungkinan ia berbukit, jadi ketika cuba memotong, pemandu tidak dapat melihat kenderaan dari laluan bertentangan,” katanya. – UTUSAN










