Nafuzi sifatkan KDA rugi terlepas tiga mata penting

Nafuzi sifatkan KDA rugi terlepas tiga mata penting

AKSI pemain KDA FC ketika menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman, kelmarin.-IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kesilapan mudah pada minit-minit terakhir menyebabkan Kedah Darul Aman (KDA) FC terlepas untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman kelmarin, skuad kendalian Nafuzi Zain terikat 2-2 dengan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) sekali gus sekadar meraih satu mata.

“Banyak peluang pada separuh masa pertama tetapi kita leka hingga akhirnya mereka jaring gol pertama pada minit terakhir separuh masa pertama. Separuh masa kedua kita tunjukkan peningkatan dan mendahului 2-1 tetapi sekali lagi dibolosi akibat kesilapan mudah.

“Ada aspek positif ditampilkan pemain apabila kami menampakkan peningkatan dalam separuh masa kedua tetapi kita leka dan kemudiannya melakukan kesilapan mudah dengan skripnya sama seperti bertemu Kuching City FC.

“Keadaan itu menyebabkan kita kerugian tiga mata yang sepatutnya diperolehi. Kita perlu terima keputusan ini tetapi banyak yang perlu diperbaiki terutamanya untuk mengelak daripada dibolosi pada minit akhir,” katanya Nafuzi.

Dalam perlawanan itu, dua gol KDA FC dijaringkan Sony Norde serta Cleylton Santos pada minit ke-53 dan 61, manakala NSFC memperolehi jaringan menerusi penyerang import dari Senegal, Jacque Faye pada minit ke-45 serta 79.

Mengulas mengenai kritikan terhadap penyerang dari Serbia, Milos Gordic yang tampak masih belum ‘menjadi’, Nafuzi berkata, pemain berketinggian 1.9 meter itu diberi peranan berbeza apabila diletakkan di sebelah sayap berbanding penyerang utama sebelum ini.

“Dia memiliki satu peluang terbuka untuk menjaringkan gol tetapi terlepas untuk berbuat demikian. Selepas itu keyakinannya berkurang dan dalam keadaan kita perlu bermain pantas, maka saya masukkan Fayadh Zulkifli.

“Milos melakukan tugas yang baik tetapi keyakinannya mungkin berkurang disebabkan terlepas peluang itu. Kebanyakan pemain bermain baik juga sebenarnya kerana kita jelas menguasai permainan tetapi keputusan tidak menyebelahi kita untuk mendapat tiga mata,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×