Berkonvoi serahkan Jalur Gemilang kepada penduduk - Utusan Malaysia

Berkonvoi serahkan Jalur Gemilang kepada penduduk

ABDUL Latip Alias (kanan) bersama peserta konvoi menyampaikan Jalur Gemilang kepada salah sebuah rumah penduduk sempena Program Semarak Merdeka di Chengkau, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, penduduk Kampung Lada, Chengkau di sini tidak ketinggalan meraikannya menerusi aktiviti berkonvoi mengelilingi kampung sambil menyerahkan Jalur Gemilang dari rumah ke rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lada, Abdul Latip Alias berkata, ia menerusi Program Semarak Merdeka yang telah menjadi acara tahunan dianjurkan sejak tiga tahun lalu.

“Tahun ini kami menampilkan konvoi sebuah kereta klasik jenama Datsun yang sudah berusia lebih 50 tahun yang dihiasi dengan Jalur Gemilang.

“Konvoi turut disertai 35 buah motosikal yang seterusnya menyerahkan sekitar 200 Jalur Gemilang kepada penduduk di beberapa buah kampung yang semuanya terletak di kawasan JPKK Kampung Lada ini.

“Tujuan aktiviti ini bagi memastikan penduduk mengingati erti kemerdekaan yang telah diperjuangkan pemimpin-pemimpin terdahulu selain memastikan penduduk di kampung ini sentiasa bersemangat sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-67 tahun tahun tidak lama lagi,” katanya.

Ujar Abdul Latip lagi, lebih menarik, beberapa buah rumah terpilih di kampung tersebut yang lebih awal menghiasi rumah masing-masing secara sukarela dengan Jalur Gemilang juga akan diberikan insentif khas.

Ia supaya mereka lebih bersemangat untuk menghiasi rumah masing-masing dengan Jalur Gemilang pada tahun-tahun akan datang.

“Selain itu, kereta vintaj ini juga akan diletakkan di rumah paling cantik dihiasi Jalur Gemilang bagi mewakili JPKK pertandingan rumah berhias sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota pada 25 Ogos ini,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×