BANGKOK: Ketua Parti Palang Pracharath (PPRP), Prawit Wongsuwon dikecam oleh orang ramai susulan dakwaan menyerang seorang wartawan wanita kelmarin sehingga dua pertubuhan media menggesa satu siasatan mengenai insiden tersebut.
Persatuan Wartawan Penyiaran Thai dan Majlis Penyiaran Berita Thailand dalam kenyataan menegaskan, tingkah laku bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas jeneral tentera itu melanggar tatakelakuan seorang ahli parlimen.
Di bawah kod etika ahli parlimen, penggubal undang-undang mesti menghormati hak dan kebebasan orang lain dan mengelak daripada menggunakan tingkah laku atau bahasa yang tidak sesuai serta tidak boleh menggunakan kekerasan terhadap orang lain.
Kedua-dua persatuan itu berkata mereka telah menyemak dengan teliti video yang diambil semasa insiden tersebut berlaku itu dan membuat kesimpulan bahawa tingkah laku Prawit terhadap wartawan tersebut dianggap sebagai merupakan satu langkah yang provokatif dan bukannya usikan semata-mata seperti yang didakwa oleh penyokongnya.
PBS Thai, majikan kepada wartawan yang terlibat dalam insiden tersebut turut mengeluarkan kenyataan menuntut Prawit supaya bertanggungjawab atas tindakannya.
Tambah agensi itu lagi, tindakan tersebut tidak boleh diterima dan menjejaskan integriti kewartawanan disamping menggesa supaya persatuan media lain bekerjasama untuk mencari langkah untuk melindungi ahli mereka.
Semasa insiden tersebut terjadi wartawan, Duangthip Yiamphop bertanyakan soalan secara sopan dan relevan kepada Prawit menunjukkan bahawa beliau hanya menjalankan tugasnya.
Di dalam video yang tular di media sosial, Prawit dilihat terganggu apabila ditanya mengenai pemimpin parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra yang telah dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand.
Prawit kemudian dilihat berang dengan soalan tersebut lalu menampar wartawan itu sebanyak dua kali.
Namun menurut pembantunya, Prawit sudah menelefon wartawan tersebut dan memohon maaf atas tindakannya itu sambil berkata bahawa tindakan tersebut tidak bermaksud untuk menyakiti atau menggugut wartawan tersebut.-AGENSI










