SHAH ALAM: Polis menyiasat sama ada kematian penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar mempunyai kaitan dengan unsur jenayah, masalah peribadi atau mental.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, beliau semalam meninjau lokasi arwah yang dilaporkan kali terakhir berada iaitu di sekitar Jambatan Kota, Klang.
“Tinjauan saya ke lokasi itu menjurus kepada beberapa perkara yang perlu disiasat melibatkan sebarang unsur jenayah, masalah peribadi dan mental. Kita akan siasat sama ada arwah ada mengalami masalah atau gangguan dan pernah mendapatkan sebarang rawatan sebelum ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, polis setakat ini merekodkan keterangan lapan individu termasuk ahli keluarga dan kenalan mangsa.
“Proses itu merupakan sebahagian daripada aspek siasatan berkaitan kes berkenaan. Siasatan lanjut bagaimanapun masih berjalan,” ujarnya.
Kata Hussein lagi, pihaknya setakat ini mengesan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bangunan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Menerusi semakan itu, ada memaparkan arwah sedang berjalan berseorangan menuju ke arah jambatan. Namun, rakaman hanya setakat itu dan tidak nampak sehingga ke lokasi terakhir arwah berada. Jadi, ia tidak melihatkan apa yang berlaku,” jelasnya.
Semalam, polis mengesahkan tiada dokumen atau barang kepunyaan penyanyi, Nidza Afham, 23, yang hilang seperti didakwa malah ahli keluarganya tidak membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Siasatan kes kematian lelaki itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) susulan bedah siasat dijalankan Hospital Shah Alam (HSA) kelmarin.
Nidza Afham hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Puteri, Klang untuk berjoging, kira-kira pukul 7.45 petang Selasa lalu.
Lokasi terakhir keberadaan lelaki yang memakai baju gelap itu dikatakan di Jambatan Kota susulan penemuan sebuah telefon bimbit dan dompet berisi dokumen mangsa.
Kehilangan peserta rancangan realiti Can See Your Voice 3 itu terungkai selepas mayatnya ditemukan di Sungai Klang iaitu satu kilometer dari jambatan berkenaan, kira-kira pukul 7.30 petang Rabu lalu.
Jenazah abang kepada penyanyi, Aufahanie itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam dan keluarga menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan lanjut. – UTUSAN










