PETALING JAYA: Malaysia menjadi destinasi pilihan pelaburan global susulan melangkaui jangkaan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan KDNK ini merupakan salah satu ekonomi yang berprestasi terbaik di ASEAN dalam tempoh ini.
Beliau berkata, pertumbuhan yang mengagumkan ini melebihi unjuran ahli ekonomi yang telah di semak berikutan pengeluaran anggaran awal. Ini menandakan suku kedua berturut-turut di mana Malaysia telah melebihi jangkaan.
“Peningkatan ketara ini membina momentum dari permulaan yang kukuh pada awal tahun dan mencerminkan keputusan sukar yang telah diambil dalam usaha untuk mereformasi dan mengubah Malaysia sejak mengambil alih jawatan.
“Dunia semakin menyedari bahawa Malaysia adalah destinasi pilihan untuk pelaburan global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Semalam akhbar ini melaporkan, ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melepasi unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 5.8 peratus, meningkat 1.7 peratus berbanding suku pertama tahun ini.
Pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 itu menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan tepat dengan dasar-dasar kerajaan mendorong kepada kerancakan ekonomi.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, KDNK suku kedua itu disokong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang positif dan sokongan dasar yang lebih baik.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan-keputusan ini termasuk tindakan berterusan kerajaan membanteras rasuah, penyasaran subsidi dan penekanan kerajaan dalam mengejar pelaburan bernilai tinggi.
Katanya, kini mulai membuahkan hasil apabila dapat mewujudkan ekonomi bernilai tinggi yang menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk lebih ramai rakyat Malaysia.
“Ini termasuklah pengembangan RM25 bilion oleh gergasi semikonduktor Jerman, Infineon, yang merangkumi sebuah kilang baharu yang canggih untuk pengeluaran semikonduktor bernilai tinggi.
“Ini juga merangkumi pelbagai pelaburan baharu yang diumumkan tahun ini daripada gergasi teknologi global yang anda sudah kenali, Google, Microsoft, NVIDIA, dan banyak lagi.
Tambahnya, pemulihan Ringgit Malaysia (RM) baru-baru ini berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain bersama dengan kenaikan pantas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tahun ini juga mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat.
“Impian ini adalah untuk mendapatkan Malaysia tumbuh sekurang-kurangnya 5.5 peratus setahun jika tidak 6 peratus yang akan meletakkan kita di antara 30 ekonomi terbesar di dunia dan salah satu yang paling berdaya saing di peringkat global,” katanya.










