HANYA kerana sebuah video dihadiahkan apron pengutip telur sempena ulang tahun perkahwinan, nama Hannah Neeleman atau Hannah Ballerina Farm secara tiba-tiba menjadi perbincangan hangat di media sosial.
Beliau menjadi perhatian ramai kerana kehidupannya yang unik sebagai seorang suri rumah tradisional dan pencipta kandungan media sosial.
Dengan lebih 17 juta pengikut di Instagram dan TikTok, Hannah kerap berkongsi mengenai gaya hidup homesteading di sebuah ladang besar bersama suami, Daniel Neeleman dan lapan orang
anak mereka.
Beliau asalnya seorang penari balet yang dilatih di The Juilliard School, salah satu sekolah seni persembahan terkemuka di dunia, selain pernah menjadi ratu cantik sebelum mendirikan rumah tangga.
Hannah sanggup mengorbankan impiannya sebagai penari balet dan berkahwin dengan Daniel hanya selepas tiga bulan pasangan ini bercinta.
Daniel, 35, datang daripada latar belakang keluarga jutawan dengan bapanya sendiri memiliki syarikat penerbangan gergasi.
QUEEN OF TRAD WIFE
Selepas memulakan keluarga di Rio de Janeiro, Brazil, pasangan ini akhirnya berpindah ke sebuah ladang seluas 328 hektar di Utah, dengan menguruskan perusahaan penternakan dan pertanian serta mengekalkan kehidupan keluarga tradisional.
Hannah terkenal dengan julukan Queen of Trad Wife kerana dedikasinya menjadi isteri dan suri rumah tangga.
Beliau sering berkongsi mengenai aktiviti hariannya seperti memasak, membesarkan anak-anak dan menjalankan kerja-kerja ladang yang semuanya dipertontonkan dalam cara yang sangat idealistik dan menarik di media sosial.
Walaupun bergelar isteri kepada seorang anak jutawan, Hannah memilih cara hidup tradisional dengan menguruskan rumah tangga dan lapan anak tanpa pengasuh atau pembantu.
Di usia 34 tahun, Hannah sudah bergelar ibu kepada lapan orang anak, dengan tujuh daripada mereka dilahirkan tanpa penggunaan epidural.
Beliau juga memasak makanan untuk keluarganya setiap hari dengan bahan asas yang dibuat sendiri.
NAFI DITINDAS
Kontroversi mengaitkan kehidupan Hannah mula timbul selepas artikel diterbitkan oleh The Sunday Times UK pada Julai 2024, yang mencetuskan perdebatan meluas mengenai fenomena tradwife.
Artikel itu mendedahkan Hannah sering mengalami keletihan kerana membesarkan lapan anak tanpa bantuan pembantu, sebagai memenuhi permintaan suaminya.
Rentetan itu, Hannah dalam sebuah video yang dimuat naik di Instagram tampil menepis pendapat negatif yang diterimanya sejak artikel tersebut diterbitkan.
Beliau menegaskan gambaran dirinya ditindas oleh suami dalam artikel itu adalah sangat bercanggah dan tidak benar.
“Kami rasa temu ramah berjalan dengan baik, namun apabila diterbitkan ia sebaliknya mengejutkan kami,” katanya.
Hannah menegaskan bahawa beliau dan Daniel sangat mengutamakan Tuhan dan keluarga, bahkan perkahwinan dengan suaminya adalah perkara terindah dalam hidup.
“Berkahwin dengan Daniel selepas beberapa bulan bertemu adalah keputusan terbaik yang pernah saya buat. “Saya dan Daniel sudah lama mengimpikan memiliki keluarga yang besar, jadi kami menyerahkan semuanya kepada Tuhan,” katanya.










