KUALA PILAH: Tiga beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan parang dan pisau dalam kejadian di Tampin, awal bulan ini.
Tertuduh, R. Arul, 32; R. Kalidasa, 33; dan R. Elango, 27; mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, kesemuanya secara bersama telah menyebabkan kecederaan ke atas lelaki berusia 46 tahun dengan menggunakan sebilah parang dan dua bilah pisau yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3 pagi di Kampung Baru Air Kuning Selatan di Gemencheh pada 4 Ogos lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam bagi ketiga-tiga beradik berkenaan, Daniel Savarimuthu dalam rayuan memohon jaminan paling rendah dengan syarat tambahan, selain ketiga-tiga tertuduh akan memberi kerjasama sepanjang kes berjalan.
Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan sekiranya terdapat kacau ganggu, jaminan akan ditarik serta merta. Kes akan disebut semula pada 18 September ini.
Media pada 4 Ogos lalu melaporkan, seorang lelaki mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan selepas diserang rakannya dipercayai berikutan perselisihan faham berkaitan kerja.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian bahu, perut, kaki dan belakang badan.-UTUSAN.










