JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor merupakan kerajaan Barisan Nasional (BN), bukannya Kerajaan Perpaduan dan prinsip kerusi penyandang tidak terpakai di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu terbukti apabila semua ahli Exco, ahli majlis dan ketua kampung adalah daripada wakil BN sahaja.
“Realitinya di negeri Johor tidak wujud Kerajaan Perpaduan sepertimana di Putrajaya dan negeri-negeri yang lain dengan Menteri Besarnya juga adalah daripada UMNO dan BN.
“Apabila tidak wujud Kerajaan Perpaduan di Johor, maka prinsip parti penyandang tidak terpakai kepada 56 kerusi DUN di negeri Johor. Dengan kata lain kerusi DUN di Johor tidak menjadi hak atau milik kepada mana-mana parti sama ada PH atau BN.
“Sehubungan itu, PH atau BN bebas untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN di Johor, tambahan pula PH adalah berstatus pembangkang atau dipanggil pengimbang di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, ketiadaan Kerajaan Perpaduan di Johor mewujudkan keadaan yang tidak kondusif bagi Ahli Parlimen PH Johor dalam mengadakan kerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di bawah kawasan Parlimen mereka.
“Keadaan ini juga membawa kesukaran untuk mewujudkan kerjasama di peringkat akar umbi antara parti-parti dalam BN dan PH. Keadaan atau suasana sebegini tidak membawa kesan yang positif, walaupun jika berlaku kerjasama BN dan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
“Oleh itu, pemimpin PH dan BN Johor perlu segera duduk di meja perundingan atau musyawarah dengan mengenepikan ‘ego politik’ masing-masing atas kepentingan 4.1 juta rakyat Johor.
“Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi BN Johor perlu memulakan langkah yang positif ini ke arah menatijahkan keharmonian politik di negeri Johor,” tegasnya. – UTUSAN










