SEREMBAN: Bagi memberikan pendedahan kepada para pelajarnya mengenai angkasa lepas, Sekolah Tinggi Chung Hua, Seremban di sini mengadakan Program Pendidikan Angkasa Lepas 2024.
Lebih menarik, program itu turut mendapat kerjasama The Houston Association for Space and Science Education (HASSE) yang merupakan sebuah organisasi beribu pejabat di Amerika Syarikat yang berobjektif memperkasa generasi muda mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan tumpuan pada penerokaan angkasa lepas.
Pengetua Sekolah Tinggi Chung Hua, Dr. Sua Sin Zang berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjadi satu-satunya sekolah di negara ini yang mengadakan Program Pendidikan Angkasa Lepas 2024 dengan Kerjasama HASSE.
“Pelajar sangat teruja dan tertarik dengan modul disediakan yang menjadi antara objektif sekolah untuk pengalaman program yang unik, memajukan pendidikan STEM menerusi modul pendidikan angkasa lepas secara dalam talian.
“Diharapkan dengan langkah yang diambil ini ia boleh diikuti institusi pendidikan yang lain seiring dengan usaha HASSE dalam memperluaskan dan menarik lebih ramai pelajar mempelajari pendidikan angkasa lepas ini,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pada majlis itu, seramai 195 orang pelajar Sekolah Tinggi Chung Hua, Seremban turut berpeluang memperoleh ilmu dan maklumat yang disampaikan secara telesidang dari wakil HASSE.
Ketua Bahagian Pemasaran Asia Pasifik HASSE, Peter Lee berkata, pihaknya secara konsisten menyokong pelbagai inisiatif dalam mempromosikan inovasi teknologi, penyelidikan saintifik, pembangunan bakat dan integrasi pendidikan angkasa lepas.
“Kami sentiasa mengalu-alukan semua pihak termasuk institusi pendidikan untuk turut serta dalam program pendidikan angkasa lepas dalam usaha mengukuhkan hubungan antara global komuniti dan sektor angkasa lepas,”katanya.
Menurut beliau, kurikulum, yang diajar oleh angkasawan, profesor universiti dan saintis Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) bagi menyemarakkan semangat pelajar untuk sains, inovasi dan keusahawanan melalui kursus penerokaan angkasa lepas sambil memupuk kerja berpasukan dan kemahiran pelaksanaan projek.
“Sekolah ini menjadi satu-satunya sekolah di Malaysia yang dapat menimba pengalaman program yang unik, memajukan pendidikan STEM menerusi modul pendidikan angkasa lepas secara dalam talian.
“Sudah semestinya kami menggalakkan lebih banyak lagi institusi pendidikan, pelajar dan pendidik daripada ratusan daripada sekolah di seluruh dunia mendapat manfaat daripada program HASSE,” katanya.-UTUSAN.










