Siasatan isu kontrak suami Hannah Yeoh hampir lengkap - Utusan Malaysia

Siasatan isu kontrak suami Hannah Yeoh hampir lengkap

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Siasatan berhubung isu dakwaan pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor dengan mengaitkan syarikat suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sedang dilengkapkan. 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan dijangka siap dalam masa terdekat ini. 

“Sepertimana saya sebut, kita melihat beberapa perkara yang perlu ditambah baik pada akan datang terutama isu tata kelola apabila membabitkan saudara mara dan sebagainya.

“Saya rasa dalam tempoh sebulan dua ini siaplah kertas siasatan terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di Hotel Royale Chulan di sini, hari ini.

Hadir sama, Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad; Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin; Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji; Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak; Presiden MAICSA, Datuk Akbar Moidunny; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Rezy Izwan Ramly dan Pengarah Jabatan Khas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Akmal Johari Ismail.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengalu-alukan siasatan SPRM berhubung isu dakwaan pemberian kontrak projek rintis DRT oleh kerajaan Selangor yang mengaitkan syarikat suaminya.

Menerusi hantaran di laman X, Hannah berkata, siasatan sudah bermula dan beliau mahu segala kebenaran dapat didedahkan selepas isu itu disiasat.

Katanya, beliau dan seluruh rakyat berhak untuk mendapatkan kebenaran dan bukti berhubung perkara itu yang turut membabitkan syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) yang mana suaminya, M. Ramachandran adalah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan.

Susulan itu,  SPRM telah memulakan siasatan terhadap pemberian kontrak kepada syarikat yang dikaitkan dengan suami Hannah, berikutan petunjuk baharu diterima ekoran daripada beberapa aduan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×