KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dan memerlukan masa untuk meneliti semua aspek siasatan berkaitan pelaburan dan tatekolanya.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan masih dijalankan dan banyak lagi input yang perlu diperoleh daripada pelbagai pihak.
Katanya, semua isu yang dibangkitkan (Laporan Audit Ketua Negara) akan disiasat dan tidak ada yang ditinggalkan.
“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk minta masa lagi, pegawai-pegawai saya beritahu mereka memerlukan masa lagi untuk siasat berkaitan pelaburan dan sebagainya.
“Siasatan kita bukan sahaja berkaitan jenayah rasuah atau salah guna kuasa, tetapi kita juga melihat kepada sistem dan prosedur yang mana ia perlu dikaji betul-betul apabila dalam laporan Ketua Audit Negara menyentuh isu tatakelola,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan di sini, hari ini.
Yang hadir sama Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin; Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji; Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak; Presiden MAICSA, Datuk Akbar Moidunny; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Rezy Izwan Ramly dan Pengarah Jabatan Khas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Akmal Johari Ismail.
Minggu lalu, media melaporkan pegawai kanan pengurusan tertinggi HRD Corp hadir ke pejabat SPRM bagi dirakam percakapan.
Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.6 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.
PAC juga mahu Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) membentangkan dapatan audit bebas terhadap HRD Corp kepada pihaknya September ini.
Malah, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dilaporkan berkata, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Wan Suraya dilaporkan berkata, terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.
Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengarahkan KSU Kesuma, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp supaya membuat laporan kepada SPRM.
Susulan itu, SPRM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18 dan 23 Akta SPRM 2009.- UTUSAN










