KUALA LUMPUR: Seramai 50 saksi lagi akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan membabitkan pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya yang disyaki menerima rasuah bernilai lebih RM1.6 bilion berkaitan pembinaan dua lebuh raya di Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya telah menahan seramai 11 orang termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat konsesi dengan 11 kertas siasatan sudah dibuka.
“Tadi saya mendapat makluman daripada pegawai siasatan, kertas siasatan sedang giat disiapkan di mana setiap satu siasatan memerlukan tambahan lima ke enam orang saksi lagi.
“Jadi kalau 11 kertas siasatan, maksimum dalam 50 orang saksi yang perlu dipanggil memberi keterangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di Hotel Royale Chulan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad; Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin; Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji; Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak; Presiden MAICSA, Datuk Akbar Moidunny; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Rezy Izwan Ramly dan Pengarah Jabatan Khas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Akmal Johari Ismail.
Azam berkata, banyak keterangan perlu diperoleh daripada pihak kontraktor dan lain-lain individu.
Terdahulu, media melaporkan, lapan individu termasuk seorang CEO dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah bernilai lebih RM1.6 bilion membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.
CEO bergelar Datuk bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi itu dan lima lagi individu yang juga pemilik sebuah syarikat direman bagi membantu siasatan.
Mereka ditahan menerusi Ops Lintas antara pukul 8 hingga 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.- UTUSAN










