Pembantu tadbir didakwa kemuka dokumen palsu lebih RM22,000 - Utusan Malaysia

Pembantu tadbir didakwa kemuka dokumen palsu lebih RM22,000

FOZIANA Isa (depan) hadir di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan memperdayakan pihak kolej dengan mengemukakan dokumen palsu.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pembantu tadbir sebuah kolej vokasional di Rembau didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan memperdayakan pihak kolej dengan mengemukakan dokumen palsu berhubung baucar bayaran pembekalan barang keperluan pejabat berjumlah RM22,058.60 pada 2022 dan 2023.

Tertuduh, Foziana Isa, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, Foziana sebagai ejen kerajaan iaitu pembantu tadbir dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhammad Sharip satu dokumen baucar bayaran pembekalan barang keperluan pejabat berjumlah RM4,757.10 dan RM17,301.50 yang mana prinsipalnya itu mempunyai kepentingan.

Oleh itu, tertuduh mempunyai sebab mempercayai dokumen tersebut mengandungi butir matan palsu iaitu pembekalan barang keperluan pejabat seperti mana dalam lampiran Nota Minta dan Pesanan Sekolah sebuah syarikat kepada pihak kolej yang mana sebenarnya pembekalan tersebut tidak ada dibuat dan dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya.

Kesalahan itu dilakukan di Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhammad Sharip, Rembau pada 5 Disember 2022 dan 6 Januari 2023.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu jika butir matan palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan.

Peguam, Noramin Petra Nor Hanapiah yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan yang rendah RM5,000 atas alasan tertuduh dan suaminya masing-masing hanya bekerja sebagai pembantu tadbir dengan pendapatan purata kurang RM6,000 sebulan.

“Mereka menanggung enam anak bersekolah berusia empat hingga 16 tahun. Tertuduh juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban sebulan sekali sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 September 2024.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×