Amirudin tidak berhasrat sertai Kabinet

Amirudin tidak berhasrat sertai Kabinet, selesa kekal MB

Gaji Selangor
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak berhasrat untuk menyertai Kabinet sebaliknya lebih selesa kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Naib Presiden PKR itu berkata, keutamaannya adalah kepada negeri bagi memastikan prestasi kerajaan negeri tidak terganggu sekiranya berlaku perubahan kepemimpinan yang menyebabkan penyesuaian semula terhadap perancangan-perancangan sedia ada.

“Setakat ini tak ada apa-apa angin kepada telinga saya atau berita yang saya akan ditarik ke sana.

“Tetapi, untuk memastikan (secara peribadi), untuk ke­langsungan perancangan yang kita buat, saya lebih suka untuk kekal sebab saya hendak pastikan semua Rancangan Selangor, Pembangunan Wilayah Sabak Bernam (SABDA), Pembangunan Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS) SABDA, IDRISS semua kita dapat laksanakan.

“Kalau tidak nanti penyesuaian berlaku, ia akan beri kesan kepada prestasi negeri dan juga parti secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui pembe­rita, semalam.

Tambah Ahli Parlimen Gombak itu, bagaimanapun beliau maklum dan perlu akur dengan kepimpinan parti sekiranya perlu atau diarahkan berbuat demikian.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua menjelaskan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco menunjukkan prestasi yang baik dan masih terdapat ruang untuk dipertingkatkan.

Menurutnya, rombakan Exco boleh berlaku pada bila-bila masa bergantung kepada kese­suaian tertentu yang disumbang pelbagai faktor.

“Kalau tanya kemungkinan, ia tetap ada pada bila-bila masa ikut kesesuaian kadang-kadang disebabkan sakit, kematian dan faktor-faktor lain, saya tak kata tak boleh langsung.

“Tetapi, bagi saya buat masa ini saya mempunyai pasukan yang mantap di Selangor, kami gembira bekerja bersama-sama dan diakui perlu ada peningkatan prestasi untuk kita memantapkan perkhidmatan selepas setahun (pentadbiran),” jelasnya.

Katanya lagi, pada mesyuarat MMKN minggu lalu, beliau mengingatkan kesemua Exco secara umum untuk mempertingkatkan prestasi di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenalpasti pencapaian yang hendak ditonjolkan.

Terdahulu, tular dakwaan rombakan Exco akan berlaku di negeri ini yang menyatakan dua exco daripada PKR dan DAP akan digantikan, bagaimanapun perkara itu dinafikan Setia­usaha Akhbar kepada Amirudin, Saifuddin Shafi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×