Cuaca panas Malaysia beransur pulih

Cuaca panas Malaysia beransur pulih

MOHD. HISHAM MOHD. ANIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai boleh menarik nafas lega berikutan cuaca panas kian beralih kepada cuaca lembap dengan jangkaan peningkatan taburan hujan di beberapa negeri dalam tempoh seminggu akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, pihaknya menjangkakan hujan dan ribut petir boleh berlaku pada awal petang hingga malam melibatkan beberapa negeri.

Katanya, keadaan cuaca lembap berlaku terutama bagi negeri-negeri di Pantai Barat (Perak, Selangor dan Melaka) dan kawasan pedalaman Semenanjung, barat Sarawak serta barat Sabah.

“Tinjauan cuaca bulan depan pula menunjukkan taburan hujan dijangka berada pada paras normal di seluruh negara, kecuali kawasan barat Sarawak yang dijangka me­nerima hujan melebihi purata.

“Jangkaan keadaan cuaca ini juga meningkatkan paras air di kawasan negeri yang mempunyai tadahan empa­ngan serta sungai sekitarnya jika banyak hujan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, cuaca panas menimbulkan keresahan dalam kalangan pesawah dan petani susulan suhu tinggi menjejaskan kitaran tanaman mereka selain kekurangan bekalan air untuk disalurkan ke petak sawah.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, beberapa negeri termasuk Kedah me­ngalami kemerosotan paras air iaitu di Empangan Muda yang berbaki lapan peratus, Empangan Pedu (39.09 peratus) dan Empangan Ahning (81.80 peratus), dengan purata keseluruhan takungan air bagi ketiga-tiga empangan ialah 43.68 peratus berikutan kemarau.

Mohd. Hisham berkata, berikutan cuaca hujan di kebanyakan tempat membolehkan suhu negara berada pada bacaan normal selain menjangkakan tiada cuaca panas yang berterusan sehingga awal tahun depan.

“Cuaca hujan di kebanyakan tempat sejak dua minggu lepas menyebabkan suhu udara kembali kepada bacaan normal.

“Bacaan menunjukkan suhu antara 32 hingga 34 darjah Celsius di stesen-stesen pencerapan meteorologi seluruh negara pada ketika ini. Justeru, MetMalaysia tidak menjangka cuaca panas berterusan sehingga awal tahun depan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya bersiap sedia untuk melaksanakan pembenihan awan jika terdapat permintaan terhadap mana-mana negeri yang terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×