PADANG BESAR: Hujan lebat sejak minggu lalu memberi kelegaan dan membawa rahmat kepada kira-kira 1,221 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 2,558.56 hektar di negeri ini, apabila sawah yang kering-kontang dengan keadaan tanah merekah sebelum ini, kembali digenangi air.
Antara yang paling lega adalah para pesawah di Kampung Semadong, di sini yang merupakan kawasan paling teruk terjejas dan mereka dilihat sudah mula menjalankan kembali aktiviti pertanian di kawasan bendang.
Perkembangan tersebut sekali gus membolehkan mereka kembali menaruh harapan untuk meneruskan penjagaan tanaman padi yang berusia dua bulan, di sebalik jangkaan hasil tetap merosot kesan kemarau sebelum ini.
Seorang pesawah, Che Fariz Izani Che Ya, 36, berkata, hujan lebat baru-baru memberi sedikit ‘nafas’ kepada para pesawah di kawasan berkenaan apabila melihat bendang digenangi air selepas sekian lama tanah merekah.
Katanya, situasi itu turut memberi kelegaan kepada sesetengah pesawah memulakan tanaman pada bulan depan selepas tidak dapat berbuat demikian akibat kemarau.
“Cuma kami berharap hujan dapat berterusan bagi menampung keperluan bekalan air. Jika cuaca panas kembali selepas ini, dikhuatiri masalah sama berulang.
“Kami jangka hasil tetap merosot, namun sekurang-kurangnya tidaklah rosak sepenuhnya. Ekoran masalah itu sebelum ini, padi yang diusahakan kini berusia sekitar dua bulan berkemungkinan terbantut menyebabkan hasil terjejas teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, kira-kira 1,221 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 2,558.56 hektar di negeri ini berisiko menanggung kerugian mencecah RM9.8 juta berikutan masalah kekurangan bekalan air ekoran cuaca panas dan kemarau.
Antara kawasanp terjejas teruk adalah di Kampung Semadong yang membabitkan 70 pesawah di kawasan seluas 86 hektar selepas keadaan sawah kering-kontang dengan keadaan tanah pula merekah.
Sumber pengairan pesawah di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu hanya bergantung kepada hujan dan Empangan Timah Tasoh, namun paras air di empangan berkenaan tidak mencukupi membekalkan air kepada aktiviti pertanian.
Sebagai rekod, bekalan air untuk tujuan pertanian tidak dapat dibekalkan sehinggalah paras empangan Timah Tasoh kembali berada pada paras melebihi 27.10 meter.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, hujan pada minggu lalu di Perlis memberi kelegaan kepada para petani khususnya di kawasan Semadong yang kini dapat kembali menjalankan aktiviti pertanian seperti biasa.
Katanya, sebelum ini, beliau menghantar surat permohonan kepada kerajaan untuk proses pembenihan awan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air di kawasan sawah di luar kawasan MADA.
“Paras air di empangan Timah Tasoh juga sudah mula menunjukkan peningkatan kepada 26.87 meter semalam berbanding 26.72 meter pada Jumaat lalu.
“Peningkatan tersebut meskipun tidak ketara namun membawa harapan baha kepada para petani yang bergantung kepada sumber air dari empangan tersebut untuk memastikan tanaman padi mereka terus hidup dan berkembang,” katanya. – UTUSAN










