KEMAMAN: “Saya percaya anak perempuan saya terperangkap di dalam satu ruang tertutup di dalam bangkai bot karam.”
Itulah firasat Mohamad Husaini Ayob, 60, iaitu bapa kepada Aina Husna, 25, iaitu seorang daripada dua mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam selepas dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman dekat sini, Ahad lalu.
Husani berkata, dia berharap bangkai bot dapat ditemukan biarpun operasi mencari dan menyelamat (carilamat) ditamatkan petang semalam.
Menurutnya, ketika kejadian itu, difahamkan Aina Husna sedang tidur di ruangan tersebut dan anak perempuannya mungkin tidak sempat keluar berenang naik ke atas untuk menyelamatkan diri.
Malah, katanya, seorang lagi mangsa yang belum ditemukan, Yusof Kassam, 66, juga terperangkap dalam bot berkenaan.
“Satu sahaja harapan saya supaya bangkai bot yang karam itu dapat ditemui. Naluri saya kuat mengatakan Aina Husna terperangkap dalam bot itu.
“Kalau pun dia tiada dalam bot, saya nak tengok juga depan mata untuk mengesahkan tiada jasad dalam bot, untuk kepuasan dan ketenangan hati saya,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Zon Maritim Kemaman, di sini, semalam.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang belum ditemukan ialah pesara polis, Yusof Kassam, 66.
Dua mangsa yang ditemukan lemas ialah Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan tekong tempatan, Shahril Ismail, 50.
Lima mangsa yang selamat pula Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini,30, Haziyah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50.
Mohamad Husaini berkata, selain operasi pencarian oleh agensi penyelamat, dia dan ahli keluarganya juga mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin agar anaknya dapat ditemukan segera.
Bagaimanapun, menurutnya, dia reda sekiranya Aina Husna gagal ditemukan kerana berpuas hati dengan usaha pencarian yang dijalankan pihak berkuasa.
“Pada masa yang sama saya juga bersyukur kerana isteri, Haziyah dan seorang lagi anak perempuan, Ain Farhana, 30, yang ikut sama memancing terselamat,” ujarnya.









