WASHINGTON: Satu wawancara yang disiarkan secara langsung di platform media sosial X antara usahawan terkemuka, Elon Musk dan calon Presiden Parti Republikan, Donald Trump terganggu dalam satu insiden didakwa Musk sebagai serangan siber Penafian Perkhidmatan Teragih (DDoS).
CNN melaporkan, serangan itu mengakibatkan temu bual tersebut lewat 40 minit daripada masa yang ditetapkan.
Musk sebagai reaksi kepada gangguan itu berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menghentikan serangan terbabit.
“Jika keadaan bertambah teruk, wawancara akan diteruskan dengan jumlah penonton yang kecil dan akan dimuat naik atas talian untuk akses yang lebih luas sebaik sahaja ia berakhir,” katanya di laman X.
Ramai pengguna mengalami kesukaran untuk menyertai sesi wawancara tersebut.
DDOS adalah serangan terhadap sistem komputer atau rangkaian komputer yang menyebabkan ia hilang keupayaan untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna.
Bagaimanapun, pakar berpendapat, wawancara itu mungkin terganggu disebabkan bilangan penonton yang terlalu ramai sehingga menyebabkan sistem laman X tidak mampu menampung lambakan pengguna.
Dalam satu hantaran berasingan di laman X, Musk sebelum ini mendedahkan pernah menguji siaran langsung di platform itu dengan lapan juta penonton serentak.- AGENSI










