KLFW: Penghormatan atau ciplak?

KLFW: Penghormatan atau ciplak?

-GAMBAR IHSAN KLFW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOLAH-OLAH berada di Paris apabila ratusan komuniti pereka serta peminat fesyen, selebriti, model dan pempengaruh ‘berkampung’ di Esplanade KLCC, mengikuti Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2024.

Ia cukup simbolik sekali gus mengingatkan ramai kepada pentas peragaan gah di kota fesyen yang berlatar belakangkan panorama indah Menara Eiffel. 

Di sebalik lokasi ikonik, segelintir koleksi diperagakan didakwa mirip cetusan ilham rumah fesyen mewah. 

Apakah ia satu penghormatan atau sekadar menciplak idea? 

 

Penganalisis fesyen, Prof. Dr. Zuhaili Akmal Ismail berkata, situasi itu dikesan berdasarkan elemen atau gaya pilihan yang seolah-olah terikut-ikut koleksi pereka antarabangsa di minggu fesyen global. 

“Contohnya, gaya yang terlalu hampir atau sama seperti stail bohemian oleh jenama Etro dan Missoni diikuti penggunaan aksesori bulky (besar) mirip Maison Schiaparelli. 

“Timbul persoalan sama ada ia adalah penghormatan atau sebaliknya. 

“Ada juga koleksi yang hampir sama dengan rekaan ikonik Christian Dior,” katanya. 

Beliau menasihatkan pereka berhati-hati dalam penghasilan setiap helaian.

 “Jika sekadar mendapat inspirasi, tak mengapa tetapi jangan terlalu sama, sebagai koleksi di KLFW demi keaslian dan identiti,” tegurnya. 

KLFW 2024 memasuki tahun ke-12, diadakan selama seminggu berakhir 4 Ogos lalu.

Lebih 50 pereka ditampilkan termasuk nama-nama besar seperti Rizman Ruzaini, Fiziwoo, Nurita Harith dan Alia Bastamam. 

Seramai 10 pereka baharu membuat kemunculan sulung antaranya jenama sedia dipakai seperti Akudesign, Corak, Ghostboy, Larney, Shals dan Tact. 

-GAMBAR IHSAN KLFW

KURANG PRODUK KRAF 

Hanya satu pereka produk kraf tempatan yang terlibat dalam KLFW menerusi segmen Fashion Forward Batik Malaysia yang julung kali diperkenalkan.

Zuhaili Akmal berharap usaha dilakukan jenama batik premium, Ruzzgahara itu dapat membuka mata dan menyuntik inspirasi buat komuniti tersebut. 

“Sepatutnya lebih ramai pereka tampil mengetengahkan produk seperti batik di pentas KLFW.

“Secara tidak langsung ia membantu memartabatkan kraf tempatan di mata dunia,” katanya.

Beliau turut menyarankan pihak penganjur meneruskan segmen bertemakan produk kraf tempatan pada setiap tahun. 

Mengenai pereka baharu, katanya, jenama Shals mencuri perhatian dengan koleksi clean, trendy dan mempunyai penyampaian yang tepat.

“Temanya jelas dengan busana oversized dan relaks, di samping penggunaan warna palet kuning lembut yang bukan sahaja menyegarkan tetapi membangkitkan rasa tenang dan elegan,” katanya. 

-GAMBAR IHSAN KLFW

REKAAN MATANG 

Zuhaili Akmal turut menyifatkan KLFW sebagai pentas terbaik sepanjang 12 tahun penganjurannya dan berpuas hati kerana platform itu berjaya membanggakan industri fesyen tempatan. 

“Keseluruhannya, acara ini menunjukkan kematangan dan peningkatan ketara.

“Ia bukan sahaja memartabatkan fesyen tempatan tetapi juga membuka peluang kepada pereka baharu untuk menyerlah,” katanya yang turut mengakui kematangan dan kreativiti tinggi dipamerkan pereka tempatan, setanding antarabangsa. 

Syomirizwa Gupta menutup hari ketiga dengan koleksi The Secret Garden bersama pereka India, Shika Grover. 

Manakala, Alia Bastamam dengan penggunaan material flowy sesuai pelbagai jenis tubuh.

Rekaan Masyadi Mansoor menarik perhatian dengan koleksi jaket dan siluet elegan, manakala Zachrin Jaafars, berjaya menggabungkan elemen tradisi dan moden dengan cemerlang.

TONJOL MUKA BAHARU 

Pengasas Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA), Bon Zainal Harun mahu lebih ramai bakat-bakat muda diangkat ke KLFW.

Langkah itu katanya, penting bagi memastikan kesinambungan industri fesyen tanah air agar tidak ketandusan pelapis. 

“Ada segelintir pereka sudah terlalu ‘lama’ dalam KLFW, mungkin mereka patut beri peluang kepada yang baharu.

“Saya sudah berbuat demikian dan kali terakhir menyertai pentas fesyen itu adalah pada 2014, iaitu sedekad lalu,” katanya. 

Pemilik jenama Bon Zainal ini berkata, industri fesyen bersifat dinamik dan sentiasa berubah-ubah saban tahunm justeru dengan kemunculan bakat muda dapat meyumbang idea baharu yang kreatif serta segar. 

Bon Zainal turut memuji pemilihan KLCC sebagai lokasi acara yang diyakini dapat memartabatkan lagi industri fesyen negara. 

“Edisi kali ini memang menarik dan penganjurannya sudah mencapai standard antarabangsa seperti di Paris,” ujarnya. 

Saban tahun, isu gaya tetamu sering menjadi perhatian dalam KLFW, malah segelintirnya mencetuskan kontroversi kerana didakwa mencolok mata. 

Bon Zainal turut mengingatkan golongan berkenaan agar tidak menjadikan fesyen sebagai tiket menormalisasikan perkara yang bertentangan dengan norma adab, budaya dan agama.

“Jangan salah guna kebebasan itu dengan berfesyen entah apa-apa.

“Kita hidup dalam masyarakat majmuk, bergaya boleh tetapi kena berpada-pada supaya tidak mengaibkan atau memalukan sesiapa,” tegasnya. 

Beliau mengakui segelintir tetamu mungkin tidak pernah menghadiri acara minggu fesyen, sekali gus menyebabkan mereka cetek ilmu dalam tatacara berpakaian. 

Tegurnya lagi, perkara itu perlu diberi perhatian serius terutama mereka yang duduk di barisan hadapan. 

“Sesiapa sahaja termasuk selebriti di baris hadapan pakailah gempak sedikit dan jaga penampilan anda. “Kadang kala kalau saya nampak gaya yang tidak ‘betul’, saya akan tegur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN