Kenderaan ‘melimpah’ ke taman perumahan

Kenderaan ‘melimpah’ ke taman perumahan

KEKURANGAN parkir punca kereta di pinggir jalan sehingga menyukarkan kenderaan besar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan terdapat lebih kurang 36 juta kenderaan berdaftar di negara ini. Ini bermakna jumlah kenderaan yang berdaftar di Malaysia melebihi penduduk Malaysia yang cuma lebih kurang 32 juta sahaja.

Namun, dijangka lima peratus dari jumlah itu merupakan kenderaan yang tidak aktif. Maka, berdasarkan jumlah ini, tidak pelik ia membawa kepada masalah tempat letak kereta yang begitu ‘sesak’ di kawasan perumahan.

Ada kawasan perumahan bertanah yang hanya boleh memuatkan sebuah kereta di dalam kawasan rumah. Ini menyebabkan banyak kereta diletakkan di luar pagar atau pinggir jalan. Hal ini menyebabkan laluan menjadi sempit dan menyukarkan bantuan seperti bomba, polis atau lori sampah.

Sebagai contoh, Taman Wangsa Melawati di Setapak, Kuala Lumpur. Ada dalam kalangan penghuni di sini meletak kenderaan di depan rumah sendiri tetapi secara melintang sehingga menyempitkan dan menghalang hampir setengah dari ruang jalan. Situasi begini ini lebih ketara apabila semua penghuni rumah pulang dari bekerja atau pada cuti umum.

Elok rasanya jika pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau lain-lain Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menghadapi masalah serupa agar dapat menyediakan ruang letak kereta khas iaitu tempat letak kenderaan awam bermusim dan berbayar di kawasan yang hampir dengan taman perumahan berkenaan. Ruangan ini dikhaskan untuk penduduk taman perumahan berhampiran bagi waktu tertentu, dengan menyediakan kamera litar tertutup (CCTV) untuk pemantauan keselamatan.

Atau pihak PBT hendaklah menguatkuasakan undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan meletak kenderaan yang mengganggu lalu lintas sekali pun dalam taman perumahan.-UTUSAN

TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×