SAUDARA PENGARANG,
Pulau Pinang terkenal sebagai pusat pelancongan dengan keunikannya tersendiri dari pelbagai bangsa dan kaum yang mewarnai budaya masyarakat setempat. Diberi jolokan sebagai Pulau Mutiara, menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara sekali gus mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandar Warisan Dunia pada 2009.
Saban tahun, pada Julai hingga Ogos akan diadakan suatu festival perayaan budaya di Georgetown melibatkan beberapa penganjur antarabangsa dan anak jati Pulau Pinang dalam mengangkat dan memulihara seni budaya yang berkembang sejak ratusan tahun.
Namun, rasa terkilan apabila beberapa program mahupun festival tidak mengangkat sejarah dan kebudayaan Melayu Pulau Pinang berbanding dengan sejarah kolonial yang diagung-agungkan.
Warisan budaya Melayu Pulau Pinang seperti silat, boria, marhaban serta pembuatan keris masih wujud dan dipersembahkan ke serata pelosok negeri namun bagi pihak tertentu melihatnya sebagai satu yang tidak relevan untuk diketengahkan kepada pelancong dari luar dan dalam negara.
Pihak penganjur perlu mengenal budaya dan naratif asal untuk disajikan kepada pengunjung dan tidak melakukan diskriminasi sejarah mahupun budaya umpama merentak di ladang orang. Bertahun-tahun merayakan pesta seni dan warisan budaya tetapi hanya mementingkan pengaruh kolonial serta penjajahan sedangkan tapaknya mempunyai sejarah selain asal usulnya yang tersendiri.
Tanjung Penaga perlu dijenamakan semula sebagai pusat bandar jika pihak yang berwajib mengikuti objektif dalam melestarikan warisan budaya Pulau Pinang.
Menteri dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepatutnya turun padang dalam hal-hal yang berkaitan dengan apa sahaja festival yang selalu dianjurkan, bukan sekadar perasmi program semata-mata.
Pihak kerajaan negeri harus cakna dan menitikberatkan sensitiviti masyarakat dan bangsa terutama sekali bagi penduduk Melayu yang masih menjadi majoriti di setiap tempat. Semangat muhibah dan masyarakat madani perlu dibawa secara sama rata tanpa menafikan kewujudan budaya Melayu di negeri ini.-UTUSAN
MUHAMMAD TANZILUL FURQAN MARZUKI
Aktivis Sejarah Pulau Pinang










