JOHOR BAHRU: Keluarga seorang guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, yang mayatnya ditemukan tanpa kepala di dalam tong sampah di Alor Gajah, Melaka, Januari lalu menuntut keadilan sewajarnya untuk mangsa.
Suaminya, Mohd. Yusof Mokhtar, 35, walaupun mengakui berat menerima hakikat bahawa mayat dalam keadaan tidak sempurna itu adalah isterinya, dia tetap reda dengan apa yang berlaku serta menuntut individu yang melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu diheret ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.
“Saya harap hukuman yang setimpal untuk si pelaku, kalau boleh hukuman gantung. Saya mahukan keadilan untuk isteri saya, tak patut (diperlakukan sedemikian rupa), dia seorang yang taat kepada suami dan amat sayangkan anak-anak.
“Dia (isteri) seorang yang baik, kalau ada apa-apa akan dia minta izin dengan saya. Saya nak keadilan untuk dia (isteri), memang kejam dia (pelaku) buat macam itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai, di sini hari ini.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tidak lengkap yang ditemukan di Alor Gajah pada 31 Disember tahun lalu, dikenal pasti sebagai Istiqomah berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak lapan bulan lalu.
Pada 26 Disember lalu, guru wanita yang bekerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3, di sini tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja dan sehari selepas itu pihak polis menerima laporan berhubung kehilangannya serta hasil siasatan dijalankan menemukan kereta milik wanita itu di sebuah pasar raya terkemuka di bandar raya ini.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemukan disumbat dalam tong sampah dan dibuang dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada 31 Disember lalu, namun identiti masih belum diketahui.
Mengulas lanjut, bapa kepada tiga anak itu berkata, semua anaknya mengerti nasib menimpa ibu mereka yang diperlakukan dengan kejam.
“Anak sulung banyak diam, termenung dan rindukan ibunya. Sebelum ini, dia tak mahu pergi sekolah kerana kawannya selalu bertanya dan beritahu ibunya sudah hilang. Dia sering ikut isteri yang merupakan seorang pendiam dan suka tolong orang.
“Saya selalu pujuk dia, abah ada, datuk dan nenek pun ada. Anak sulung dan kedua tak menangis, dia akan kata mama (panggilan arwah untuk anak-anaknya) pergi ke sekolah,” katanya sambil memberitahu jenazah arwah akan dibawa balik dan dikebumikan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ibu mangsa, Saleha Ya, 58, berkata, kali terakhir dia bertemu anak sulung daripada dua beradik itu ketika bercuti bersama-sama kira-kira dua hari sebelum dia dilaporkan hilang.
Semasa bercuti di Morib, Selangor, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga dimaklumkan berita kehilangannya oleh menantunya.
Sepanjang tempoh kehilangan anaknya itu, Saleha dan suami, Ahmad Rozi Latimin, 64, yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan telah membuat ujian DNA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan IPD Alor Gajah.
“Meskipun sedih dengan pemergian arwah, kami sekeluarga pasrah dengan ketentuan Allah SWT ini. Dia suka bantu orang, kalau orang tu tak ada duit, kadang-kadang dia kata umi (panggilan Istiqomah) orang tu tak ada duit, bagilah sikit, dengan emak saudara dia pun selalu dia hantar (beri bantuan) bagi bulan-bulan,” katanya. – UTUSAN










