KUALA TERENGGANU: Seorang pesara bomba dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kerana memberi keterangan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Abdul Hamid S. Abdullah, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sebaik tiga pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman, hari ini.
Mengikut pertuduhan, Abdul Hamid didakwa memberi keterangan bercanggah dengan kenyataan yang diberikannya sebelum ini di Pejabat SPRM Terengganu pada 27 September 2018.
Keterangan tertuduh berkaitan pengetahuannya tentang milikan tiga buah syarikat yang membekalkan alat ganti ‘walkie talkie’, jaket keselamatan, sut dan kompas.
Abdul Hamid memberi keterangan tidak selaras itu di Pejabat SPRM Cawangan Segamat, Johor, tiga tahun kemudian pada 7 September 2021.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 27(1)(b) Akta SPRM 2009.
Sebaik merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada tertuduh, mahkamah menetapkan 10 Oktober ini untuk tarikh sebutan semula, pengurusan kes dan lantikan peguam.
Pihak pendakwaan memohon ikat jamin RM20,000 namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Feisal Mohd. Azmi dan Pegawai Pendakwa, Abd. Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










