SEGAMAT: Misteri kehilangan seorang wanita warga emas berstatus kurang upaya (OKU) sejak 7 Ogos lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan di rumpun pokok pisang berhampiran rumahnya di Kampung Permatang Panjang, Jementah, dekat sini pagi tadi.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintenden Ng Swie Chait, pihak polis menerima maklumat daripada waris mangsa tentang penemuan mayat berhampiran rumpun pokok pisang pada pukul 10.15 pagi ini.
“Mayat mangsa, Zaiton Hamzah yang berusia 60 tahun itu ditemukan kira-kira 30 meter dari rumahnya dalam keadaan lengkap berpakaian.
“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia beberapa jam yang lalu. Hasil siasatan awal mendapati tiada kesan gigitan binatang buas atau calar di tubuh badan mangsa,” katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Panjang, di sini.
Pada 7 Ogos lalu, mangsa kali terakhir dilihat keluar dari rumah pada pukul 4.30 petang untuk mengambil angin di halaman rumahnya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat (HDS) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN











