PARIS: Kejayaan Arshad Nadeem memenangi emas dalam acara merejam lembing di Sukan Olimpik Paris telah mengakhiri kemarau Pakistan selepas 40 tahun.
Nadeem turut memecahkan rekod temasya apabila melakukan catatan 92.97 meter (m) menewaskan juara bertahan dari India, Neeraj Chopra yang memenangi perak dengan 89.45m, dan gangsa milik Anderson Peters dari Grenada (88.54m).
Penantian Pakistan selama 40 tahun untuk memenangi emas di Olimpik tamat selepas kali terakhir mereka melakukannya pada edisi 1984 di Los Angeles menerusi sukan hoki lelaki.
Bagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui juara Olimpik itu terpaksa bertungkus-lumus untuk membeli lembing baharunya disebabkan masalah kewangan.
“Orang tiada idea bagaimana Arshad boleh sampai ke hari ini. Bagaimana penduduk kampung dan saudara-maranya mengumpul dana supaya dia boleh pergi ke bandar lain untuk berlatih dan menyertai kejohanan di awal kariernya,” kata bapa Nadeem, Muhammad Ashraf.
Nadeem pernah meminta pertolongan daripada umum untuk memberi suntikan dana kepadanya termasuk Neeraj demi menampung keperluannya untuk berlatih di media sosial.
Walaupun berdepan masalah kecederaan selain tidak mempunyai kemudahan dan peralatan yang lengkap berbanding negara lain, pencapaian Nadeem menarik perhatian rakyat di negaranya untuk beralih ke acara trek dan padang memandangkan sukan kriket sering menjadi tumpuan di Pakistan. – AGENSI










