Lelaki disyaki jual dadah maut terjun jambatan - Utusan Malaysia

Lelaki disyaki jual dadah maut terjun jambatan

SEORANG lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan dadah maut selepas terjun dari jambatan di Kampung Bujal Payoh, Kijal, Kemaman, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan dadah maut selepas bertindak terjun daripada sebuah jambatan di Kampung Bujal Payoh, Kijal, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, lelaki berusia 23 tahun itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di atas jambatan tersebut kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

“Bertindak atas maklumat penjualan dadah, pihak polis telah menghampiri lelaki yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di atas jambatan itu.

“Bagaimanapun, apabila kenderaan polis menghampiri lelaki itu, dia kemudiannya bertindak terjun dari jambatan berketinggian lebih 12 meter itu,” katanya.

Hanyan berkata, anggota polis kemudiannya memeriksa keadaan lelaki itu dan mendapati dia tidak sedarkan diri dengan kecederaan di bahagian kepala sebelum menghubungi pasukan perubatan.

“Di bawah jambatan kejadian mangsa terjun adalah kawasan berbatu dan kawasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang belum siap sepenuhnya.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Hanyan berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan pegawai perubatan mengesahkan lelaki itu meninggal dunia ekoran kecederaan di kepala berikutan terjatuh dari tempat tinggi.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN