Kontraktor tidak mengaku cederakan ibu saudara, nenek - Utusan Malaysia

Kontraktor tidak mengaku cederakan ibu saudara, nenek

LELAKI yang didakwa Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan menumbuk ibu saudara dan menampar neneknya, Isnin lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk ibu saudara dan menampar neneknya, Isnin lalu.

Tertuduh, M. D. Nava Rajan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan berasingan di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas ibu saudaranya, P. Rajaspary, 68, dengan cara menumbuk di bahagian muka di sebuah rumah di Taman Indah Jaya, Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak pada pukul 10.30 malam, 5 Ogos 2024.

Tertuduh juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas neneknya, R. Kamalam, 90, dengan cara menampar di bahagian muka di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan, iaitu penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara yang dikenakan mengikut Seksyen 324 kanun sama.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Ainaa Liyana Mohd. Talal mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Kumaresan memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri, dua anak dan ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Kes disebut semula pada 10 September depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×