Lelaki tidak mengaku cederakan pegawai, anggota polis - Utusan Malaysia

Lelaki tidak mengaku cederakan pegawai, anggota polis

LOK Yik Hoong tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Teluk Intan hari ini atas empat pertuduhan termasuk mendatangkan kecederaan parah kepada pegawai dan anggota polis minggu lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki yang ditahan sebelum ini kerana menyerang dan mencederakan seorang pegawai dan anggota polis dengan parang, dihadapkan ke dua mahkamah berasingan hari ini.

Tertuduh, Lok Yik Hoong, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin dan Majistret T. Ashvinii.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh yang juga seorang duda itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Mohd. Rasyidi Che Ross, 42, menggunakan senjata berbahaya yang mungkin menyebabkan kematian iaitu sebilah parang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Melati, Padang Tembak dalam daerah Hilir Perak pada pukul 5.40 petang, 1 Ogos 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah berbahaya jenis kanabis dengan anggaran berat 84.72 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama itu memperuntukan hukuman mati atau penjara tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Yik Hoong juga didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan parang ke atas Tie Ngie Sieng, 34,

Tertuduh juga didakwa menghalang seorang penjawat awam iaitu Asisten Superintenden Misran Osman bersama sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk membuat serbuan ke dalam rumahnya dengan bertindak agresif menjerit dan mengamuk dengan melibas senjata parang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Noor Aisyah Mat Isa dan Inspektor Nur Ainaa Liyana Mohd Talal manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Kumaresan.

Intan Nurul Farena dan Ashvinii kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mana-mana mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×