SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan syarikat Pengurus Manfaat Kesihatan, MEDKAD Sdn Bhd (MEDKAD) bekerjasama bagi mempermudah dan mempercepat proses bantuan perubatan dan zakat menerusi inisiatif digital.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd Sarbini, menerusi kerjasama tersebut, solusi yang pantas dan berkesan dapat disalurkan kepada para asnaf di negeri ini sekaligus memudahkan akses kepada bantuan perubatan dalam masa lapan hari berbanding dua minggu sebelum ini.
“Menerusi Pelan Strategik LZS 2023 hingga 2025 di bawah teras strategi Go Digital, LZS menekankan pembangunan dan penggunaan platform digitalisasi bagi mempertingkatkan keupayaan dan kecekapan proses penyaluran bantuan agihan zakat khususnya bantuan perubatan.
“Al-Amal yang dibangunkan untuk LZS, diintegrasikan dengan sistem sedia ada iaitu LZS Electronic Zakat Online (eZO).Tiada sebarang kos dikeluarkan oleh pihak LZS melibatkan perlaksanaan Al Amal,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik Antara LZS dan MEDKAD, hari ini.
Inisiatif perkhidmatan kesihatan tersebut dilaksana menerusi Sistem Bantuan Perubatan Elektronik dikenali sebagai Al-Amal.
LZS diwakili oleh Mohd. Sabirin dan MEDKAD diwakili CEO, Ezuan Yaacob yang disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan LZS, Datuk Dr. Tunku Muzafar Shah Tunku Jaafar Laksamana.
Mohd. Sabirin memberitahu, permohonan bantuan perubatan di LZS secara digital tersebut, mampu mengurangkan kebergantungan pada borang fizikal dan pemprosesan
manual.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, penggunaan sepenuhnya Al-Amal untuk pengurusan permohonan bantuan perubatan asnaf di LZS dijangka dilaksanakan pada awal tahun depan, selepas pelaksanaan tempoh perintis di Petaling bermula November ini.
Katanya lagi, pada masa ini proses permohonan bantuan di LZS melibatkan 553 panel perubatan yang dilantik di seluruh Selangor, dengan hampir 3,500 tuntutan diproses secara manual setiap bulan.
“Pada tahun 2023, LZS telah mengagihkan lebih RM51 juta untuk bantuan perubatan kepada 11,000 asnaf, dengan jumlah transaksi melebihi 16,000 setahun. Harapan LZS dengan adanya Al Amal transaksi bantuan perubatan dapat dilakukan dengan lebih lancar kepada kesemua asnaf,” ujarnya. – UTUSAN










