PETALING JAYA: Penyertaan Malaysia dalam kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) tidak bermakna negara ini cenderung atau pro kepada Russia dan China.
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan, Dr. Mohd. Ramlan Mohd. Arshad berkata, ini kerana kerajaan tidak mengubah dasar-dasar luar negaranya yang sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak.
“Walaupun menyertai BRICS, ini bukan bermakna Malaysia akan menjadi pro kepada Russia atau China yang diketahui umum cenderung kepada ideologi yang berbeza dengan amalan di Malaysia.
ANCAMAN
“Saya percaya, tiada ancaman walaupun banyak yang diperkata akan berlaku seperti itu. Tetapi, ini hanyalah persepsi kerana banyak manfaat negara peroleh selepas menyertainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Felow Bersekutu di Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand dan Singapura, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, walaupun terdapat beberapa kebimbangan seperti Perang Russia-Ukraine serta program One Belt One Road oleh China, kerajaan mempunyai strategi untuk menghadapi kesan daripada tindakan itu.
Beliau mengambil contoh kebimbangan disuarakan India berkaitan aplikasi pintar ciptaan China, namun tidak membawa kepada pengunduran India daripada BRICS.
“Kedudukan ketenteraan BRICS terutama Rusia dan China dengan blok Barat seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman dan United Kingdom (UK) juga hampir setara.
“Oleh itu, kuasa-kuasa besar dunia ini tidak akan mewujudkan suasana kritikal di wilayah Asia Tenggara kerana terdapat juga kepentingan syarikat-syarikat mereka yang bakal dan sedang beroperasi seperti Tesla dan Microsoft,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, keanggotaan Malaysia dalam BRICS berpotensi ‘merumitkan’ hubungan dengan negara kuasa besar seperti AS dan Kesatuan Eropah (EU).
BERBAIK-BAIK
Walaupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sudah memberi jaminan penyertaan Malaysia ke dalam BRICS tidak akan menyebabkan negara berdepan ancaman negara kuasa besar, ahli akademik tidak menolak kemungkinan jika tiada dasar efektif memastikan Malaysia berbaik-baik dengan kesemua blok ekonomi.
Pada 27 Julai lalu, dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 di Vientiane, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia perlu menunggu lebih kurang satu tahun lagi sebelum permohonannya diterima, namun, Rusia dan China mengalu-alukan penyertaan negara dalam BRICS.
Pada 9 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat menegaskan, permohonan Malaysia menyertai BRICS tidak bertentangan dengan dasar luar negara.
Sebaliknya, katanya, Malaysia mengambil pendekatan menjalin hubungan baik dengan semua pihak lebih-lebih lagi dengan kemunculan kekuatan ekonomi baharu.
Katanya, Malaysia juga akan terus menjalin hubungan dengan Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dimeterai Kabinet terdahulu.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China manakala Afrika Selatan kemudian menyertai kumpulan itu pada 2010. – UTUSAN










