Cerita saksi detik ‘lori terbang’ tembus rumah

Cerita saksi detik ‘lori terbang’ tembus rumah

KEADAAN rumah yang dilanggar sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin di Kampung Ketapang Hilir, Pekan kelmarin. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seorang saksi menjerit meminta rakannya lari sebaik terdengar dentuman kuat sebelum ternampak lori laju merempuh rumah di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin di Kampung Ketapang Hilir di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu menyebabkan penghuni rumah, Mohd. Waldon Faris Nasruddin, 21, dan kakaknya, Nurnazatul Fasiha, 32, meninggal dunia kerana kecederaan parah.

Saksi berkenaan, Muhamad Nazran Mahdir, 20, berkata, ketika kejadian dia berada di beranda rumah tersebut bersama seorang rakan dan arwah Mohd. Waldon Faris.

Ceritanya, kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan sebaik melihat lori berkenaan ‘melayang’ dia segera menjerit meminta mereka melarikan diri.

“Saya dengar bunyi kuat ‘gedegang-gedegang’ dan bila lihat lori seperti terbang ke rumah tempat kami bermain permainan video, saya jerit lari, lari, sambil saya sendiri lari keluar dari rumah.

“Saya kemudian lihat lori berkenaan tembus ke dalam rumah dan saya terkejut mendapati Allahyarham (Mohd. Waldon Faris) tiada di luar rumah,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi saksi, Muhammad Gabriel Mighael Muhammad Faidzal, 19, berkata, semasa kejadian dia bersama Mohd. Waldon Faris berborak sambil bermain permainan video di beranda rumah.

Menurutnya, melihat lori tersebut dia kelam-kabut me­larikan diri sehingga mengalami kecederaan di dagu dan pinggang.

“Saya dengar rakan saya menjerit lari dan apabila nampak lori sudah dekat saya lari keluar manakala Allahyarham lari masuk ke dalam rumah menyebabkan kami berlanggar dan rasa terhantuk selepas itu saya pengsan.

“Saya bersyukur kerana ha­nya mengalami kecederaan tetapi amat bersedih kerana kejadian mengorbankan rakan saya dan juga kakaknya,” katanya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan motosikalnya yang diletakkan di hadapan rumah hancur turut dirempuh lori tersebut.

Katanya, Mohd. Waldon Faris tidak menunjukkan perubahan cuma kakak arwah ada membuat hantaran di laman sosial Facebook gambar mereka berdua minggu lalu.

“Minggu lalu saya lihat arwah gembira melihat ­‘posting’ gambar mereka berdua di. Facebook kakaknya dan minggu ini memang saya tidak sangka mereka berdua akan pergi buat selamanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×