Bay jadi ciri ibu yang baik untuk anak kami – Sean Lee - Utusan Malaysia

Bay jadi ciri ibu yang baik untuk anak kami – Sean Lee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“TIBA-tiba saya jadi pendiam, tidak boleh bertentang mata dan jantung saya berdebar. Dia lebih cantik di dunia nyata,” Pengacara dan pelakon, Sean Lee, tersenyum ketika bercerita detik pertamanya bertemu secara fizikal dengan isteri, Bay Doucet, setelah berbulan mendekatinya di alam maya. 

Ketika itu, Sean terbang ke Australia menziarahi seorang kawan sementara Bay sedang melanjutkan pengajian di tempat yang sama. Maka berlakulah pertemuan singkat yang menguatkan perasaan Sean untuk memilih Bay lebih daripada seorang kawan. 

Hasrat hati pelakon drama Demi Dewimu bersambut dan mereka berdua menjalani hubungan percintaan secara diam, tidak heboh tapi bahagia selama lapan tahun. 

“Ada banyak faktor yang membuatkan kami berdua bersetuju untuk menjalani hubungan secara low key sepanjang lapan tahun ini. Waktu itu Sean sudah berada dalam industri dan mula berlakon untuk drama. 

“Saya sudah lihat banyak hubungan yang putus di tengah jalan. Walaupun perpisahan adalah cerita peribadi, tapi mereka kena jelaskan semuanya kepada khalayak sebab orang luar hendak tahu. 

“Kami ingin hubungan ini bertahan dan menjalaninya dengan santai sahaja,” cerita Bay pula yang tampil manis dengan rambut potongan bob ke sesi fotografi bersama Pancaindera baru-baru ini.

DIAM TAPI TIDAK BERAHSIA

TIDAK mudah menjalani hubungan secara diam-diam, apa lagi jika kekasih adalah orang yang dikenali. Pasti ada banyak pihak yang merasakannya masih bujang dan mula cuba nasib untuk mendekati. 

“Kalau mahu bercakap tentang insecurity, sesiapa boleh merasakannya bahkan kalau tidak bercinta dengan artis sekalipun. Tahun awal percintaan memang saya tidak biasa. Tapi lama-lama seronok juga sebab sebab tiada yang kacau (kerana tidak tahu mereka bercinta). 

“Saya faham, bila bekerja di dalam industri hiburan, Sean kena jadi orang lain, tapi bila dia balik rumah, dia akan kembali menjadi dirinya sendiri. Namun apa yang menyelamatkan hubungan ini ialah apabila masing-masing saling berkomunikasi. 

“Jika ada cabaran, kami tidak mudah mengalah. Banyak yang kami lakukan untuk saling memahami antara satu sama lain. Prinsip itu sangat penting,” katanya lagi. 

Bukan itu sahaja, menurut Sean, dia akan sedaya upaya melibatkan Bay dalam setiap kerja yang dilakukan agar kekasihnya itu tahu bahawa mereka memperjuangkan impian bersama-sama. 

“Kelakar juga bila mengenangkan bagaimana selama lapan tahun ini kami menjalani hubungan secara rahsia tapi sentiasa ‘ada’ bersama. 

Contohnya, setiap hantaran di media sosial, dia yang tolong ambil gambar atau rakam. Kadang kalau saya terlalu penat, dia akan bantu sunting. 

“Saya tidak berahsia, kalau nak tahu, Google Calendar saya pun dia ada,” ujar Sean di sambut dengan gelak manja isteri di hadapannya. Bagi Bay, dia tidak mahu dikenali sebagai isteri kepada Sean Lee semata-mata. Dalam masa sama, Bay mula membina nama dan kini bergelar usahawan untuk sebuah butik pakaian terpakai bernama Looop di Damansara Kim, Petaling Jaya. 

Bukan itu sahaja, sebelum berita perkahwinan tersebar, Bay sudah pun bergelar pempengaruh fesyen yang rajin mempromosikan pakaian ala vintage yang dipadankan dengan aksesori berwarna-warni. 

“Media sosial kadang boleh jadi tempat yang sangat menakutkan. Kita tidak boleh teka apa respons yang bakal diberikan kepada kita. Sebelum majlis perkahwinan, saya sudah bersedia jika ada yang akan memberikan respons negatif. 

“Saya juga tidak mahu sekadar dikenali sebagai isteri kepada artis, Sean Lee. Tetapi syukur, selepas majlis perkahwinan, ramai yang kenal saya sebagai diri saya sendiri dan tahu apa yang seorang Bay lakukan selama ini,” jelasnya yang melangsungkan perkahwinan pada 6 Julai lalu.

PERKAHWINAN ADALAH TENTANG PERKONGSIAN NILAI

BAGI Sean dan Bay, sejak awal perkenalan, masing-masing sudah mempunyai misi yang serupa iaitu membangun keluarga bersama-sama. 

Sejak awal lagi, Sean mencari seorang gadis yang boleh menjadi ibu yang baik kepada bakal anaknya. 

“Paling mustahak dalam perkahwinan ialah kita kena pastikan nilai yang dipegang oleh kami berdua adalah sama. Jika kita hanya bersandarkan kepada emosi semata-mata, ni akan bertukar bila-bila. 

“Saya tidak boleh bersama dengan seseorang yang berbeza cara pandangnya mendekati agama. Contohnya jika setiap Ahad saya ke gereja tapi dia tidak suka. Ia sudah bercanggah dan membawa saya jauh daripada agama. 

“Tapi Bay, ada ciri-ciri seorang isteri yang saya cari. Jika saya ada anak nanti, saya juga tidak risau kerana dia juga akan menjadi seorang ibu yang baik,” kata Sean menutup temu ramah.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×