PARIS: Penembak Turkiye, Yusuf Dikec meraih pingat perak menerusi acara 10 meter (m) pistol angin campuran tanpa memakai sebarang alatan khas, Selasa lalu.
Yusuf yang tenang membidik tembakan tidak menggunakan teleskop, tidak memakai penutup telinga dan pakaian khas, sebaliknya hanya memakai cermin mata dan kemeja T untuk mengejutkan atlet lain.
Susulan gayanya yang bersahaja menyeluk tangan di poket seluar sambil menembak, Yusuf tular di media sosial apabila ramai peminat sukan mengagumi cara dan teknik beliau.
“Turkiye mempertaruhkan atlet berusia 51 tahun itu tanpa menggunakan sebarang alatan khas yang sering digunakan oleh penembak yang lain di Olimpik.
“Namun dia bersahaja tanpa menggunakan alatan khas mampu menggondol pingat perak di Olimpik. Itu sangat luar biasa,” kata seorang peminat di laman sosial X.
Rakaman video Yusuf dimuat naik laman sosial X menyaksikan hampir 100 juta tontonan dan hampir ribuan komen membanjiri video terbabit. – AGENSI










