Sanusi ‘alu-alukan’ Gerakan mahu keluar PN

Sanusi ‘alu-alukan’ Gerakan mahu keluar PN

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor secara sinis mengalu-alukan Parti Gerakan yang mahu keluar daripada gabungan itu.

Muhammad Sanusi berkata, beliau bukan bersifat angkuh sebaliknya hanya mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong kononnya parti itu tidak teragak-agak untuk keluar PN berhubung isu dibangkitkan.

“Kalau Gerakan nak keluar PN silakan, pintunya sentiasa ada di sana. Mereka yang buat kenyataan terbuka, ugut nak keluar PN. Jadi sila keluar dan kita hanya memberi maklum balas.

“Bukan kita tolak mereka keluar tetapi kalau nak keluar, pintunya sentiasa ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Jiwa Merdeka peringkat negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi merasakan tindakan Gerakan berhubung isu tersebut didorong oleh kehendak mereka untuk menyenangkan hati pengundi Cina.

“Mereka nak pengundi Cina bersama parti itu maka mereka pertahankanlah isu kaum berkenaan. Politik Malaysia ini senang saja iaitu berasaskan kaum dan kepentingan komuniti.

“Kalau nak undi, maka kena pertahankan jugalah dan sama ada apa yang dipertahankan itu betul atau salah, itu dah jatuh nombor dua. Berbeza dengan kita yang konsisten mempertahankan kebenaran,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menafikan dakwaan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau yang mendakwa PN tidak pernah duduk berbincang mengenai cara untuk menyelaraskan perbezaan.

“Kita sentiasa berbincang malah ada mesyuarat bulanan. Kita tak rasa ada masalah apa dengan mereka tetapi mereka yang buat kenyataan terbuka nak ugut keluar PN.

“Tetapi semalam saya ada baca nasihat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya isu ini diselesaikan secara dalaman. Maka kita berhentilah bercakap dan hanya menjawab apa yang diperkatakan mereka saja,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×