Jurukimpal dipenjara 38 tahun bunuh abang, kakak ipar - Utusan Malaysia

Jurukimpal dipenjara 38 tahun bunuh abang, kakak ipar

NG CHUN MING dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh atas kesalahan membunuh abang dan kakak iparnya dua tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang jurukimpal dijatuhi hukuman penjara selama 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah membunuh abang dan kakak iparnya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut selepas Ng Chun Ming, 63, menukar pengakuan kepada bersalah pada 15 Julai lalu.

Pengakuan bapa kepada seorang anak lelaki itu dibuat pada hari pertama perbicaraan kes tersebut yang sepatutnya bermula dari 15 hingga 19 Julai 2024.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh Ng Chun Hon, 64, dan Ooi Tin Lu, 59, di sebuah rumah di Taman Bercham Aman antara pukul 6.45 petang pada 6 Julai hingga 8.20 pagi, 7 Julai 2022 lalu.

Terdahulu, Abdul Wahab dalam keputusannya berkata, hukuman ke atas Chun Ming itu dibuat selepas pihaknya mempertimbangkan faktor kepentingan awam, keinsafan tertuduh dan setelah mendengar pengakuan salah lelaki itu pada peringkat awal selain faktor usia.

“Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 38 tahun bagi setiap pertuduhan dan pemenjaraan tersebut berjalan serentak mulai dari tarikh ditangkap.

“Manakala eksibit yang bukan berbentuk dokumen dikembalikan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said manakala tertuduh diwakili peguam, Amir Faliq Mohamad Jamil, Afina Abdul Hakim dan Nurhusna Mohd. Tharimazi.

Menerusi laporan media pada 7 Julai 2022, mayat suami isteri berusia 64 dan 59 tahun itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala di ruang tamu rumah.

Mayat kedua-dua mangsa ditemukan oleh abang kepada si mati lelaki pada pukul 8.50 pagi.

Suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga milik kakak iparnya itu bagaimanapun berjaya diberkas di sebuah hotel di Genting Highlands pada pukul 7.45 malam, hari sama.

Suspek ditangkap bersama sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam insiden pembunuhan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×