KUALA LUMPUR: Bekas isteri Harith Iskander, Dr. Jezamine Lim menafikan pembabitan orang ketiga sebagai punca perceraiannya dengan pelakon itu.
Mengakui mengenali wanita yang dimaksudkan, Jezamine menolak sekeras-kerasnya bekas suaminya curang dengan wanita berkenaan.
“Ia hanyalah spekulasi (pembabitan orang ketiga), jangan ambil serius. Jangan buang masa beri tumpuan kepada dia. Harith dan individu itu hanya kenalan biasa.
“Kami juga tidak berkawan, hanya pernah bertemu dalam sebuah majlis. Dia bukanlah kenalan rapat,” katanya selepas prosiding kes hadanah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.
Bekas pasangan suami isteri itu pada 25 Julai lalu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, di sini. Lafaz cerai itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd. Ali sekitar.
Jezamine pada 25 Jun lalu memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di mahkamah yang sama.
Harith, menerusi podcast sebuah portal berita memaklumkan keretakan rumah tangga mereka adalah berpunca daripada kesilapan dirinya selain keputusan untuk bercerai adalah atas persetujuan bersama.
Namun khabar angin membabitkan Harith dengan pempengaruh, Nadira Isaac tular dan diperkatakan dalam media sosial.
Mengulas mengenai hak penjagaan anak-anak, peguam yang mengendalikan kes perceraian pasangan itu, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan Harith dan Jezamine sepakat untuk membesarkan tiga anak mereka secara bersama.
“Tiada sebarang pertikaian dibangkitkan kedua pihak. Defendan dan plaintif rakamkan persetujuan untuk dijadikan sebagai perintah mahkamah.
“Yang telah mereka persetujui semuanya dirakamkan di hadapan hakim. Tak ada apa-apa lagi isu tertunggak semua sudah selesai,” katanya. – UTUSAN









