BACHOK: Masyarakat disaran mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing sempena sambutan bulan kemerdekaan negara sebagai tanda syukur diatas nikmat yang dikurniakan tuhan.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan Muhd. Nor Aswadi Md. Nor berkata, kibaran Jalur Gemilang itu turut mencerminkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.
“Selain itu, saya juga berharap masyarakat dapat menukar Jalur Gemilang yang sudah lusuh kepada baharu sekali gus menyempurnakan patriotisme dalam diri.
“Semangat cintakan tanah air amat diperlukan dalam membendung pengaruh budaya kuning dan bentuk penjajahan pada hari dengan cabaran dunia tanpa sempadan,” katanya kepada pemberita selepas Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang dirasmikan Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung, di sini hari ini.
Muhd. Nor Aswadi memberitahu, sebanyak 200 program KMJG telah disusun atur dan akan digerakkan oleh 135 Kelab Komuniti Madani dan 81 Kelab MalaysiaKu di sepanjang bulan Ogos ini.
Katanya, antara pengisian itu ialah kempen kibar Jalur Gemilang, deklamasi puisi patriotik, persembahan kewarganegaraan, ikrar Rukun Negara dan lain-lain aktiviti komuniti ke arah mencapai najitah Malaysia Madani yang berdaulat.
Muhd. Nor Aswady berkata, pihaknya menetapkan lima hentian KMJG membabitkan daerah Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai sebelum penyerahan bendera kepada konvoi negeri Kedah di Banjaran Titiwangsa.-UTUSAN











