SEREMBAN: Keluarga bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa atau Baby Syifaa mengakui melalui tempoh cukup sukar selepas lebih dua tahun kematian bayi itu.
Ibunya, Anida Idrus, 43, keadilan bagi Baby Syifaa bagaimanapun terjawab selepas Mahkamah Koroner Seremban di sini hari ini memaklumkan bayi berusia 15 bulan itu mati ketika berada di bawah jagaan pengasuh dan berlaku kecuaian.
Anida berkata, tiada apa yang boleh mengubah kenyataan bahawa anaknya dibawa ke klinik dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
“Untuk inkues, saya puas bila dengar Koroner sebut anak saya brought in death (sudah tidak bernyawa) ketika sampai di klinik.
“Tinggalkan anak saya satu ke dua jam dalam keadaan pintu tertutup adalah tindakan tidak berperikemanusiaan, orang yang saya amanahkan, harap perkara ini menjadi pengajaran kepada pihak taska,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas pendengaran keputusan inkues di Mahkamah Koroner Seremban di sini hari ini.
Anida dengan sebak dan menitiskan air mata turut berterima kasih semua pihak yang menyokong dan mendoakan kepadanya sekeluarga.
“Alhamdulillah walaupun tempoh dua tahun lima bulan itu sangat panjang, kami mendapat pembelaan untuk Baby Syifaa. Semua ini untuk Syifaa.
“Tidak ada sehari pun yang mudah, anak saya sudah tiada, tidak ada apa yang boleh mengembalikannya tetapi saya sudah lama reda,” katanya.
Bapanya, Yuseri Yusoff, 41, pula berkata, pihak keluarga akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya bagi memastikan pengasuh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian.
Sementara itu Peguam keluarga Baby Syifaa, Gaithri Thomas berkata, keputusan Mahkamah Koroner hari ini merumuskan pengasuh yang juga saksi ke-19 kes itu cuai dengan meninggalkan bayi itu tanpa pengawasan dalam tempoh dua jam.
Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan keluarga berkenaan tindakan seterusnya yang perlu diambil bagi mendapatkan keadilan terhadap kes berkenaan termasuk mengambil tindakan sivil terhadap pegawai penyiasat kes kerana kecuaian.
“Ini kerana siasatan pegawai penyiasat tidak menyeluruh ke atas kes ini yang mana kain buaian dan besi buaian tidak disiasat dengan penuh teliti.
“Mahkamah Koroner telah membuat penemuan bahawa saksi ke-19 (pengasuh) cuai, itu merupakan harapan saya sejak hari pertama inkues, pengasuh itu perlu didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.-UTUSAN.










