PETALING JAYA: Jumlah penduduk Malaysia pada 2024 dianggarkan 34.1 juta berbanding 33.4 juta pada 2023 dengan kadar pertumbuhan 1.9 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penduduk warganegara meningkat daripada 30.4 juta pada 2023 kepada 30.7 juta pada 2024 dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan 0.7 peratus daripada 0.8 peratus pada tahun sebelumnya.
“Penduduk bukan warganegara menunjukkan trend yang sama dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 13.6 peratus pada 2024 berbanding 17.1 peratus pada 2023,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata, Sabah telah melepasi kadar pertumbuhan nasional dengan 4.0 peratus, diikuti Kuala Lumpur (3.0 peratus), Selangor (2.1 peratus) dan Johor (1.9 peratus).
“Tiga negeri yang mencatatkan peratusan komposisi penduduk tertinggi pada 2024 ialah Selangor sebanyak 21.6 peratus diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (11.0 peratus).
“Sebaliknya, Labuan dan Putrajaya mencatatkan peratusan komposisi penduduk terendah iaitu masing-masing 0.3 peratus dan 0.4 peratus.
“Komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) pada 2024 menurun kepada 22.2 peratus berbanding 22.7 peratus pada 2023. Sebaliknya, komposisi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.9 peratus pada 2023 kepada 70.1 peratus pada 2024,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.4 peratus kepada 7.7 peratus bagi tempoh yang sama.
“Umur penengah penduduk Malaysia mencecah 30.9 tahun pada 2024 iaitu meningkat daripada 30.7 tahun berbanding tahun sebelum. Komposisi penduduk warganegara pada 2024 menurun daripada 91.1 peratus (2023) kepada 90.0 peratus.
“Sementara itu, komposisi penduduk bukan warganegara meningkat kepada 10.0 peratus daripada 8.9 peratus bagi tempoh yang sama, komposisi tertinggi sejak lima tahun yang lalu menghampiri paras semasa pra pandemik (2017-2018).
“Peningkatan ini adalah kesan daripada pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April 2022. Dalam pada itu, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) telah dilaksanakan bermula November 2020.
“Ini diikuti dengan RTK 2.0 yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023, menyumbang kepada peningkatan bilangan bukan warganegara di Malaysia,” ujarnya.
Mohd. Uzir berkata, bumiputera menyumbang 70.4 peratus daripada 30.7 juta warganegara pada 2024 berbanding 70.1 peratus pada 2023.
“Bagaimanapun, komposisi Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.4 peratus (2023: 22.6 peratus) dan 6.5 peratus (2023: 6.6 peratus), manakala lain-lain kekal pada 0.7 peratus,” katanya.-UTUSAN










