MUAR: Pelajar tingkatan dua, Muhammad Effzaldanish Mohd. Effendy, 14, yang dilaporkan hilang sejak 28 Julai lalu ditemukan selamat hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihak keluarganya melaporkan remaja itu ditemukan selamat di kawasan rumah berhampiran.
“Punca serta di mana dia berada selama empat hari kehilangannya ini masih dalam siasat.
“Pihak polis akan memberikan laporan penuh dalam masa terdekat,” katanya ringkas ketika dihubungi, di sini.
Usaha Utusan Malaysia mendapatkan komen bapa remaja berkenaan serta ahli keluarga lain belum berhasil apabila panggilan dan mesej yang dihantar tidak berbalas.
Sebelum ini, Muhammad Effzaldanish dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh pukul 7.10 pagi, 28 Julai lalu.
Dia memakai pakaian sekolah, iaitu kemeja putih dan berseluar hijau lumut. – UTUSAN











