Pengawal keselamatan didakwa muat naik hantaran jelik terhadap pendakwah - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan didakwa muat naik hantaran jelik terhadap pendakwah

ABDUL Hadi Fadzil dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memuat naik hantaran jelik di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pengawal keselamatan sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran jelik dengan niat menyakiti hati beberapa pendakwah pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Abdul Hadi Fadzil, 49, mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Abdul Hadi Ben Fadzil’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hantaran komunikasi jelik tersebut telah dibaca di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, kira-kira 12.15 tengah hari, 14 November 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Hashim memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM15,000, bagaimana pun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang minimum dengan alasan tidak mempunyai wang.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN