Dua warga Thailand mengaku tidak bersalah seludup petrol - Utusan Malaysia

Dua warga Thailand mengaku tidak bersalah seludup petrol

PHATCHAREE Hama dan Abdulloh Saleesing dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menyeludup minyak petrol di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup minyak petrol dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di Durian Burung, Padang Terap, Sabtu lepas.

Tertuduh, Phatcharee Hama, 38, dan Abdulloh Saleesing, 21, dari Songkhla, Thailand bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan tersebut yang dibacakan secara berasingan dalam bahasa Thai di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mengikut pertuduhan, Phatcharee didakwa memiliki bahan kawalan berjadual tersebut sebanyak 60 liter yang ditemukan dalam tangki diubahsuai di bahagian tempat duduk belakang sebuah kenderaan bernombor pendaftaran tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh yang juga seorang ibu tunggal dua anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di SJR Durian Burung, Kuala Nerang pada 11.45 pagi, 27 Julai lepas.

Abdulloh pula didakwa memiliki petrol sejumlah 100 liter dalam sebuah kenderaan lain yang turut diubahsuai pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Sekyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan ke atas Phatcharee dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN), Mohd. Hilmi Abu Hassan, sementara bagi Abdulloh pula oleh Mohd. Sayuti Ismayatim.

Hakim Noor Zaihan menetapkan 4 September ini sebagai tarikh sebutan semula selain wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh yang juga diarahkan melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan tersebut dengan dua penjamin warga tempatan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN