PETALING JAYA: Pakar pusat data hiperskala Asia Pasifik dan Jepun, AirTrunk memulakan operasi di Malaysia dengan pembukaan rasmi pusat data hiperskala 150 megawatt (MW) di Johor Bahru, dinamakan AirTrunk JHB1 (JHB1).
AirTrunk berkata, fasa permulaan JHB1 akan menyediakan lebih 50MW kapasiti untuk pelanggan syarikat teknologi terkemuka.
Katanya, pembangunan itu telah disiapkan dalam masa lebih empat juta jam pekerjaan tanpa sebarang insiden keselamatan yang besar, memperkukuhkan komitmen seluruh syarikat AirTrunk untuk mengekalkan tahap keselamatan tertinggi di tapak pembinaannya.
Meliputi kawasan melebihi 10.3 hektar, JHB1 menawarkan sambungan domestik dan antarabangsa padu kepada hab teknologi serantau termasuk jiran Singapura dengan strategi sambungan rentas sempadan hujung ke hujung.
Ketua AirTrunk Malaysia, Pei Jet Lim berkata, AirTrunk menyumbang secara positif kepada ekonomi tempatan dengan memberi sokongan dan membangunkan bakat tempatan serta menyediakan infrastruktur digital yang penting.
Menurutnya, pusat data baharu ini menyokong pertumbuhan rancak awan dan kecerdasan buatan (AI) dan ia sejajar dengan inisiatif Kerajaan Madani untuk membangunkan hab AI di negara ini.
“Kami memberi komitmen jangka panjang untuk terus melibatkan diri dengan komuniti tempatan dalam membina ekosistem AI penuh di Malaysia.
“Permintaan jangka panjang dan boleh diramal daripada JHB1 juga menyediakan kestabilan bagi menyokong pelaburan dalam grid tenaga dan memulakan pelbagai pembangunan tenaga hijau,” katanya dalam kenyataan.
JHB1 adalah sebahagian daripada platform pusat data Asia Pasifik dan Jepun terkemuka AirTrunk yang terdiri daripada 11 pusat yang menawarkan lebih daripada 1.4 gigawatt (GW) jumlah kapasiti untuk menyokong peningkatan permintaan daripada syarikat teknologi terkemuka global di rantau ini.-UTUSAN










