KUANTAN: Ibarat pesta. Demikian gambaran keadaan gerai di tepi Jalan Gambang-Kuantan dekat Batu Tiga berhampiran Sungai Isap di sini yang sentiasa sesak dengan kehadiran orang ramai untuk makan durian.
Dibuka pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, kawasan itu dipenuhi peminat raja buah tersebut dengan anggaran 1,000 ke 2,000 orang sehari.
Situasi itu sekali gus menyebabkan keadaan Jalan Gambang-Kuantan dekat Batu Tiga sentiasa sesak setiap hari sehingga perlu dikawal oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Penjual durian, Kamarul Hafsan Yaakob, 37, berkata, perniagaannya berjalan lancar dan pelanggan tidak putus-putus mengunjungi gerai buahnya di Jalan Gambang-Batu Tiga di sini.
“Setiap hari saya mampu jual sekitar 2,000 hingga 4,000 kilogram durian tempatan seperti IOI, musang king, duri hitam, durian kahwin dan durian kampung.
“Kadang-kadang berkurangan sebab buah tidak cukup dan permintaan kali ini memberangsangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Kamarul Hafsan berkata, durian dijual di gerai di kawasan itu datang dari Sungai Jerik, Maran dan Johor.
“Memang pada mulanya buah dari Johor banyak dijual di sini tetapi kini majoriti buah dari Sungai Jerik. Gerai lain masih ada ambil dari Johor,” katanya.
Menurutnya, pada masa ini musang king dan durian kahwin dijual dengan harga serendah RM20 sekilogram manakala durian kampung antara RM8 hingga RM10 sekilogram.
Tambahnya, bagi memastikan kepuasan pelanggan, semua buah dibeli boleh ditukar jika terdapat kerosakan sama ada ketika makan di kedai atau dibawa balik ke rumah.
“Harga ditawarkan ketika ini berpatutan dan mampu dibeli semua golongan. Sebab itu ia mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dari negeri ini malah seluruh negara,” katanya.
Kamarul Hafsan dalam pada itu berterima kasih kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana menjadikan lokasi itu sebagai ‘port’ berniaga durian di daerah ini. – UTUSAN











