MELAKA: Memang tidak masuk akal apabila menyingkap nasib seorang bapa bersama dua anak lelakinya yang masih kecil hidup merempat dengan menjadikan kawasan rehat dan rawat (R&R), surau serta masjid sebagai tempat berteduh sejak tiga tahun lalu.
Lebih menyedihkan, mereka berhijrah dari satu tempat ke satu tempat, dari selatan hingga utara dengan menaiki motosikal Modenas Kriss.
Mereka makan dan minum atas simpati orang ramai yang melihat tiga beranak itu menaiki motosikal sarat dengan tiga beg pakaian sewaktu berhenti di mana-mana kawasan R&R.
Roslan Jalil, 39, bersama dua anaknya, Muhammad Hasbunallah, 5, dan Muhammad Malik, 9, berkata, dia pergi ke Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Kuala Lumpur dan Perlis semata-mata ingin mendapat bantuan pihak berkuasa agama negeri bagi kelulusan pendaftaran perkahwinannya dengan bekas isteri warga Indonesia.
“Saya cuba dapatkan pengesahan pendaftaran perkahwinan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di bawah Akta Undang-undang Keluarga Islam, Seksyen 31 dan Seksyen 33 tetapi tidak berjaya.
“Bila saya tidak dapat pengesahan itu, sijil kelahiran tidak dapat tertera nama bapa yang dikosongkan. Bila tidak ada nama bapa, macam mana saya hendak menjaga mereka?
“Selain itu, saya tidak dapat mendaftar sekolah untuk Muhammad Malik yang sudah berusia sembilan tahun. Sebab itu saya meredah dari selatan hingga utara untuk mendapatkan bantuan daripada semua pejabat agama tetapi semuanya ditolak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Lapan, Bachang di sini.
Nasib malang Roslan dikongsikan dalam laman sosial Facebook oleh seorang wanita, Siti Aishah Abdul Rahman yang menemukan mereka sedang menolak motosikal kerana rosak di Tengkera.
Tambah Roslan, dia datang ke Melaka sejak 21 Julai lalu selepas ditawarkan pekerjaan oleh seorang lelaki ketika berjumpa di R&R Nilai, Negeri Sembilan.
“Bila tiba di Melaka, saya tidak dapat pekerjaan yang dijanjikan dan terpaksa bermalam di Masjid Al-Huda, Balai Panjang dan pergi ke Pusat Zakat Melaka mendapatkan bantuan tetapi diberi hanya RM60.
“Mujurlah saya berjumpa Siti Aishah yang membantu menghantar motosikal ke sebuah bengkel dan menyewakan hotel bajet selama dua hari di Kampung Lapan,” jelasnya. – UTUSAN











