Perlu kelulusan PBT, garis panduan baharu penceramah agama di Melaka

Perlu kelulusan PBT, garis panduan baharu penceramah agama di Melaka

RAHMAD Mariman menyampaikan sijil pentauliahan kepada seorang penceramah selepas Majlis Penutupan Program Wacana Hadis Sempena Maal Hijrah Peringkat Negeri di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menetapkan garis panduan baharu kepada para penceramah agama iaitu bukan sahaja perlu mendapat kebenaran Jabatan Mufti tetapi juga pihak berkuasa tempatan (PBT), sebelum diberi kebenaran berceramah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, jika peraturan itu tidak dipatuhi, penceramah dari luar Melaka tidak akan dibenarkan berceramah sama ada di surau, masjid atau mana-mana lokasi.

Beliau berkata, selain itu isi kandungan ceramah atau talking point perlu dimaklumkan kepada Jabatan Mufti untuk penelitian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Paling penting mana-mana orang yang hendak berceramah mesti mendapatkan pentauliahan daripada Jabatan Mufti, baru kita benarkan.

“Sebab itu kerajaan negeri telah membuat satu garis panduan, mana-mana program berkaitan ceramah dan sebagainya sebelum mendapat kelulusan daripada PBT mesti dapat kelulusan Jabatan Mufti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Wacana Hadis Sempena Maal Hijrah Peringkat Negeri di sini, hari ini.

Tambah Rahmad, setakat ini pihak berkuasa ada menerima beberapa aduan berhubung penceramah di beberapa surau tidak mempunyai tauliah.

“Ada surau yang kita terlepas pandang tetapi apabila kita mendapat tahu mereka melanggar peraturan yang ditetapkan tindakan telah diambil terhadap mereka,” ujarnya.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Rahmad berkata, Jabatan Mufti terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merampas hadis dan al-Quran palsu yang dijual di pasaran tempatan.

Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius penyebaran hadis dan al-Quran palsu dan usaha membendung penyebarannya giat dijalankan bersama KDN serta agensi berkaitan termasuk bantuan daripada masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN