KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor diminta hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Ogos ini bagi membolehkan mahkamah meneliti status kesihatannya.
Pada prosiding semalam, bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) itu tidak hadir kerana masalah kesihatan.
Pada 26 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini membuat keputusan menolak permohonan tertuduh untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya, atas alasan isu kecergasan mental beliau untuk dibicarakan dan membela diri harus disiasat oleh hakim bicara.
Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim ketika memberitahu Hakim Suzana Hussin mengenai keputusan Mahkamah Tinggi turut memaklumkan pihaknya belum menerima penghakiman penuh tetapi akan cuba mendapatkannya dalam masa terdekat.
Beliau turut memaklumkan, Mahkamah Sesyen diarah melaksanakan satu siasatan terhadap keadaan status kesihatan tertuduh.
Sementara itu, peguam bela, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mewakili Ahmad Ramli turut memohon satu tarikh sebutan semula bagi membolehkannya menyemak penghakiman Mahkamah Tinggi.
“Saya sahkan apa yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi, kes ini masih tidak dinyatakan di bawah seksyen mana tujuan siasatan (kesihatan) akan dilakukan. Untuk itu, saya mohon supaya tarikh akan datang dijadikan untuk sebutan kes,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Ramli didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana syarikat iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana BNS, iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte Ltd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di BNS, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan, pada 26 Julai 2010, 28 Oktober 2010, 25 Mac 2011, 19 April 2011, 4 Mei 2011 dan 22 November 2011.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat serta denda. – UTUSAN










